Penduduk di Taman Perkasa, Kampung Jawa, Segamat, Johor sempat berlari keluar meninggalkan rumah yang dipenuhi lumpur semata-mata mahu merakamkan detik bersama Abang Viva ketika tinjauan MalaysiaGazette di kawasan perumahan itu semalam.

MELAKA – Biarpun sudah dua tahun pelbagai kisahnya dijaja di media sosial sehingga mungkin ada yang sudah ‘muak’, namun kelibatnya di setiap lokasi banjir boleh diibaratkan seperti ‘ubat’ kepada mangsa bencana alam itu.

Itulah pengalaman dirasai sendiri wartawan MalaysiaGazette ketika berpeluang membuat liputan membantu mangsa banjir di sekitar kawasan Segamat semalam bersama Abang Viva yang sama sekali tidak dirancang, namun mencetuskan fenomena.

Masakan tidak, setiap kali kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton tertera pelekat ‘Abang V-va’ dipandunya melalui kawasan bencana, pasti ada sahaja kedengaran teriakan Abang Viva.

Malah, rata-rata penduduk baik yang tua mahupun kanak-kanak yang sedang sibuk membersihkan lumpur di dalam rumah, sanggup berlari keluar rumah semata-mata mahu merakamkan detik bersama ‘hero banjir’ itu.

Namun pujian harus diberikan kepada Azwan Omar, 31 yang bergerak sebagai ahli Persatuan Sukarelawan Bencana Melaka (PSBM) diketuai Pengerusinya, Ashwad Abd Rahim kerana bersikap matang dalam melayan ‘peminatnya’ itu.

Dia seboleh-bolehnya hanya meluangkan masa seminimum mungkin untuk bergambar dan berbual dengan mangsa banjir sebelum terus bergerak bagi meneruskan misi sukarelawannya itu.

“Sebenarnya, bila dapat melihat wajah mereka tersenyum dari jauh pun sudah cukup menggembirakan saya,” katanya yang menjadi ‘pilot’ membawa wartawan meninjau kawasan banjir sekitar Taman Perkasa, Kampung Jawa, Segamat semalam.

Pada awalnya, saya juga sebenarnya tidak menyangka nama Abang Viva akan terus diingati rakyat di negara ini kerana merasakan nama jolokan yang mula tular pada 2021 itu lama kelamaan dengan sendirinya akan pudar.

Sebaliknya pula berlaku, nama Abang Viva terus mencetuskan fenomenanya yang tersendiri, seperti menjadi ‘ubat’ dalam kalangan mangsa banjir yang seolah-olah terlupa seketika keperitan dihadapi apabila terlihat kelibatnya.

Pendek kata, biarlah apa kata orang, aura Abang Viva nampaknya mampu menukar seketika perasaan duka menjadi suka, riak sedih menjadi tawa.

Jika itu pun sudah cukup bermakna buat mangsa banjir, teruskan usahamu Abang Viva – MalaysiaGazette.