Kenderaan yang membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di mahkamah pada hari keputusan sama ada diarah membela diri atau lepas pertuduhan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Tidak seperti kebiasaan apabila keputusan sesebuah kes profil tinggi membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kompleks mahkamah akan menjadi sesak dibanjiri pemimpin parti, penyokong dan juga media tempatan dan antarabangsa pada awal pagi.

Bagaimanapun pagi ini MalaysiaGazette yang tiba sekitar jam 7 pagi tidak nampak kelibat mana-mana pihak.

Sehingga jam 8.10 pagi hanya pengamal media dan juga orang awam serta sekumpulan kecil penyokong tiba menanti di luar pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur bagi keputusan kes pindaan akhir laporan audit 1Malaysia Developement Berhad (1MDB).

Najib dan bekas Ketua Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy akan mendengar keputusan Hakim Mohamed Zaini Mazlan – sama ada mereka diarahkan membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat meminda laporan audit tersebut.

Najib tiba di sini pukul 8.40 pagi tadi dipercayai menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) model X70 diiringi anggota polis, sejurus selepas itu Arul Kanda pula tiba dan seperti biasa melemparkan senyuman kepada kumpulan media yang sudah lama ternanti.

Najib yang juga mantan Ahli Parlimen Pekan ketika ini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda Kandasamy tiba di mahkamah pada hari keputusan sama ada diarah membela diri atau lepas pertuduhan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 03 MAC 2023.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi beliau daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntuk hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib akan mewakili pendakwaan manakala peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk N.Sivananthan masing-masing hadir bagi pihak Najib dan Arul Kanda.

Najib juga masih lagi berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan dan setakat ini, pendakwaan telah memanggil 44 saksi.

Arul Kanda telah dipanggil untuk menjadi saksi pendakwaan dalam kes itu selepas mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun lepas.

Prosiding dijangka akan bermula pada bila-bila masa sahaja dengan kesemua yang terlibat sudah berada dalam mahkamah bagi mendengar keputusan oleh Mohamed Zaini. – MalaysiaGazette