PUTRAJAYA – Banyak isu terutama soal ekonomi dan masalah orang Melayu masih belum dapat ditangani sebaiknya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memasuki 100 hari pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-10 hari ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu berkata, pelbagai janji yang dibuat Anwar sebelum ini juga masih belum ditunaikan.
“Perdana Menteri membuat kenyataan tiap-tiap hari, macam-macam dia nak buat, tetapi keadaan tidak bertukar.
“Kita masih hadapi masalah kemelesetan ekonomi, masalah orang Melayu tidak ditangani, masalah politik yang tidak stabil dan sebagainya.
“Selain itu janji yang dibuat olehnya belum nampak ditunaikan, cuma bercakap sahaja. Kita lihat apa juga yang disebut Perdana Menteri ialah cuma untuk sokongan orang ramai kepadanya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Dialog Sepentas Perjuangan Yang Hilang Bersama Tun M di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.
Turut hadir dua bekas menteri Kabinet, Tan Sri Noh Omar dan Datuk Zuraida Kamarudin.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai 100 hari Anwar sebagai Perdana Menteri pada hari ini.
Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10, pada 24 November tahun lalu.
Tempoh 100 hari bukan satu masa yang begitu panjang, namun cukup untuk memperlihatkan komitmen dan ketegasan beliau termasuk memperkenalkan gagasan Malaysia Madani. – MalaysiaGazette