Che Ta menjalankan bisnes inai sejak dua tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Selebriti popular, Rozita Che Wan atau Che Ta memperkenalkan Inai Rahmah bagi menyahut dan menyokong usaha kerajaan membantu masyarakat mengurangkan kos mereka berbelanja dengan mengenakan harga yang berpatutan.

Dia yang juga pengasas bersama dan duta ‘kecil’ jenama Mazaville itu memberitahu, jualan untuk set produk itu pada mulanya dicadangkan pada harga RM60.

Namun selepas membuat timbang tara pihaknya memutuskan untuk memperkenalkan Harga Rahmah hanya RM25,

“Kalau sebelum ini kerajaan perkenalkan Menu Rahmah dengan harga murah, kenapa tidak inai ini juga dihadirkan dengan konsep sama. Malah sejak diusulkan pengasas bersama iaitu Anas Zahrin saya tidak berfikir panjang untuk meluluskan keinginannya.

“Saya optimis set ini bakal menjadi kegilaan ramai wanita menjelang hari raya Aidilfitri kelak kerana ia berkualiti, sah solat, telap air dan tentunya mampu dimiliki semua golongan,” katanya pada majlis pelancaran produk itu semalam.

Che Ta dan Anas Zahrin.

Pada acara gilang gemilang penuh mega itu, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan memukau artis tanah air seperti Shiha Zikir, Datin Alyah, Indah Ruhaila, Bob Yusof, Hazama, Irfan Haris dan Imran Ajmain.

Majlis dianjurkan juga sebagai simbolik ukhuwah Che Ta dan Anas yang sudah terjalin hampir 13 tahun, selain menghargai rakan media dan peminat inai terbabit.

Pada majlis sama, Anas turut mengumumkan kejutan hadiah hari lahir ke-50 tahun, 9 Mac ini buat Che Ta berupa tajaan pakej mengerjakan umrah.

Mengulas lanjut, Che Ta menambah, dia dan Anas turut mengalu-alukan kehadiran golongan wanita tidak kira status untuk menjana pendapatan bersama di musim Ramadan dan Aidilfitri ini.

Sementara itu, Anas selaku pengasas utama jenama terbabit mensasarkan lebih 50,000 unit sasaran jualan bakal dicapai selama dua bulan bermula bulan ini hingga April di seluruh negara.

“Berdasarkan rekod kejayaan kami terdahulu, angka 50,000 untuk dicapai dalam tempoh dua bulan tidak mustahil. Saya dan Che Ta percaya dengan niat kami ingin terus membantu dan berkongsi rezeki dengan semua,” katanya. – MalaysiaGazette