Hasmuni Hassan

KUALA LUMPUR – Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Hasmuni Hassan menafikan beliau menerima arahan daripada ‘individu tertentu’ berhubung keputusannya tidak bertanding jawatan ketua pergerakan itu pada minggu lalu.

Beliau berkata, keputusan tidak bertanding diputuskan dalam perbincangan selepas melihat sudah ada calon yang lebih berpotensi menawarkan diri bertanding jawatan itu.

“Saya mendapat maklum balas dari pelbagai pihak yang bertanyakan kenapa tidak jadi bertanding.

“Ada yang kata saya ikut telunjuk seseorang, sedangkan saya buat keputusan ini selepas berbincang dengan rakan-rakan di seluruh negara.

“Bertanding Majlis Kerja Tertinggi (MKT) juga boleh meraikan demokrasi, malah ia tawaran anak muda kepada parti untuk lebih segar dan bertenaga selepas ini,” katanya, di sini, hari ini.

Hasmuni menjelaskan, tidak timbul soal beliau dipaksa berundur dari pemilihan Ketua Pemuda UMNO Malaysia atau sebab lain.

Ini kerana katanya, ia dibuat selepas mengambil kira hasrat rakan di peringkat akar umbi yang mahukan Ketua Pemuda yang berumurnya dengan mereka iaitu di bawah 40 tahun, sama seperti parti politik lain.

Ujarnya, pada peringkat awal beliau merasakan perlu meraikan demokrasi dengan menawarkan diri bertanding, namun selepas membuat pertimbangan dan meneliti maklum balas di negeri mendorongnya memilih untuk memberi laluan.

“Bagaimanapun, saya memilih untuk bertanding jawatan anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Bertanding jawatan ini juga boleh meraikan demokrasi, malah ia tawaran anak muda kepada parti untuk lebih segar dan bertenaga selepas ini,” katanya.

Hasmuni juga bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian Kubang Pasu, Kedah menjadikan antara yang terawal menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan berkenaan pada pemilihan parti kali ini.

Di dalam sidang medianya sebelum ini, Hasmuni turut memperkenalkan pasukannya dianggotai beberapa individu untuk bertanding jawatan lain pada pemilihan parti yang diadakan tidak lama lagi.

Empat calon yang bertanding jawatan nombor satu sayap parti itu adalah bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh; Ahli MKT UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah; dan Meor Hassan Mat Ali. – MalaysiaGazette