Gambar hiasan

KESULITAN ibu bapa yang berkerja menguruskan persekolahan anak-anak dan keperluan pusat transit bukan sesuatu yang asing di zaman ini. Hal ini berpunca kekurangan masa anjal dan kesukaran untuk menguruskan jadual harian yang agak sibuk. Sudah tentu, pasangan ibu bapa yang bekerja terpaksa mencari tempat transit yang selamat untuk anak-anak mereka setelah waktu sekolah, kerana mereka terikat dengan waktu kerja di tempat mereka. Lebih merungsingkan apabila anak kecil yang belum bersekolah juga perlu dihantar ke tempat asuhan. Setelah selesai tugasan rasmi baharulah berkesempatan menjemput anak-anak mereka di tempat transit mahupun rumah asuhan. Kebanyakan pusat transit beroperasi pada masa yang terhad dan tidak sepanjang hari, menyebabkan masalah bagi ibu bapa yang mempunyai jadual kerja yang sering berubah-ubah.

Sudah pasti, kos perkhidmatan pengasuhan selepas waktu sekolah boleh menjadi beban yang besar bagi ibu bapa. Jelas, masalah ini akan memberikan tekanan dan mencetuskan kerunsingan berpanjangan. Justeru, saranan menjadikan masjid sebagai pusat transit dan pendidikan awal anak-anak selepas waktu sekolah adalah idea yang baik. Tambahan pula, ia sangat bermanfaat kepada pasangan ibu bapa yang bekerja. Berikut adalah beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan dalam usaha menjadikan masjid sebagai pusat transit dan pendidikan awal anak-anak.

Antaranya adalah:
 Menyediakan ruang khas: pihak pengurusan masjid boleh menyediakan ruang khas yang selamat dan bersih untuk dijadikan sebagai pusat transit dan pendidikan awal anak-anak. Peralatan dan kelengkapan asas yang diperlukan adalah seperti meja, kerusi, rak kasut, dan tempat tidur.  Dikendalikan oleh guru berkelayakan: Untuk memastikan perkhidmatan yang disediakan di pusat transit dan pendidikan awal ini adalah berkualiti tinggi, adalah penting untuk mengambil guru yang berkelayakan yang mempunyai pengalaman dalam pendidikan awal kanak-kanak. Sudah pasti, guru yang dilantik mestilah memiliki kemahiran dalam mata pelajaran yang mereka ajar dan mempunyai minat yang tinggi.

 Pengisian aktiviti yang bermanfaat: – Pusat transit dan pendidikan awal ini boleh menyediakan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan agama seperti kelas al-Quran dan Bahasa Arab, pengajian dan penghayatan nilai-nilai Islam. Selain itu, pendidikan asas seperti membaca, menulis, dan matematik juga boleh diterapkan. Ini dapat memberi manfaat kepada anak-anak dalam membentuk personaliti dan meningkatkan kualiti keimanan mereka. Selain itu, aktiviti-aktiviti lain juga boleh dilansanakan seperti sukan, seni, dan kraftangan. Ini dapat membantu anak-anak dalam pembangunan sosial dan fizikal mereka.

 Persekitaran mesra kanak-kanak: Persekitaran yang mesra kanak-kanak di pusat transit dan pendidikan dalam kawasan masjid akan mewujudkan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan menarik untuk kanak-kanak. Ruang-ruang khas yang telah diperuntukkan boleh dihiasi dengan poster berwarna-warni, mainan pendidikan, dan bahan-bahan mesra kanak-kanak dengan syarat tidak mengganggu aktiviti utama di dalam masjid.  Meningkatkan fasiliti dan kemudahan: Fasiliti dan kemudahan masjid yang baik akan menarik minat orang ramai untuk mengunjungi dan memanfaatkan masjid. Ini termasuklah penambahan bilik solat, kemudahan kebersihan, dan tempat letak kenderaan.

 Manfaatkan teknologi pintar: Masjid-masjid juga boleh memanfaatkan aplikasi teknologi pintar dalam meningkatkan pengalaman pembelajaran kanak-kanak. Sebagai contoh video pendidikan, permainan pembelajaran interaktif, dan kelengkapan multimedia yang lain boleh digunakan untuk menjadikan pembelajaran menyeronokkan dan menarik untuk kanak-kanak. Masjid juga boleh menyediakan peralatan pembelajaran seperti buku-buku rujukan, peranti komputer, dan akses internet untuk membantu anak-anak dalam aktiviti pembelajaran mereka.

 Kerjasama ibu bapa: Ibu bapa juga perlu memainkan peranan yang sangatpenting dalam menjadikan masjid sebagai pusat transit dan pendidikan anak-anak mereka. Justeru, mereka juga mestilah melibatkan diri dalam program mengimarahkan masjid. Selain itu, ibu bapa juga perlu menanggung sedikit kos yang bersesuaian agar kualiti perkhidmatan yang diberikan terjamin. Dengan mengambil langkah ini, masjid dapat menjadi pusat transit dan pendidikan awal yang selamat dan bermanfaat bagi anak-anak selepas waktu sekolah. Di samping itu, usaha ini juga merupakan suatu usaha dakwah yang dapat menarik orang ramai untuk mengimarahkan masjid.

Langkah ini juga merupakan suatu usaha yang baik dalam menjadikan masjid hidup 24 jam. Kelebihannya termasuklah membuka peluang kepada masyarakat setempat untuk mengunjungi masjid pada bila-bila masa, meningkatkan keberadaan masjid sebagai pusat masyarakat dan pusat keagamaan, serta memberi peluang kepada umat Islam untuk melakukan ibadah di masjid. Namun, terdapat beberapa kekurangan yang perlu diambil kira. Antara yang menjadi tumpuan, penubuhan pusat transit dan pendidikan awal ini jelas akan meningkatkan kos operasi masjid. Tidak mustahil, masjid-masjid yang melaksanakan aktiviti seperti ini dengan bersungguh-sungguh mampu menjadi tempat yang hebat untuk pendidikan awal kanak-kanak. Oleh itu, sumber dan strategi yang teliti perlu dirancang terlebih dahulu sebelum melaksanakannya.

Dengan menubuhkan pusat transit dan pendidikan awal anak-anak, masjid mampu menyediakan asas ilmu yang kukuh bagi kanak-kanak dalam menghadapi cabaran dunia hari ini. Usaha mewujudkan masjid bercirikan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan adalah sangat bertepatan dengan konsep madani yang akhirnya akan memberikan impak positif kepada masyarakat setempat.

Oleh: Sr Dr. Irwan Mohammad Ali
Koordinator Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni,
Pejabat Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast