Gambar hiasan

MANUSIA tetaplah sebagai makhluk rohani (spiritual creatures). Bagaimana sekalipun mereka tergeser oleh faham pemisahan atau yang tersingkir oleh kebendaan. Upaya memahamkan bahawa kegiatan spiritual tetap dan mesti mengisi lalu lintas hela nafas selagi bernama manusia diabsahkan lagi dengan kita meninjau sejarah.

Segala pusat kota peradaban-peradaban kuno yang tua itu letaknya institusi rohani sebagai penanda kepusatan kota yang terbangun.

Empayar Greek purba yang melahirkan ribuan ahli falsafah, seniman, penyair jika kita perhatikan memposisikan kedudukan Temple of Olympian Zeus  dalam radius pusat bandar Athens. Atau lebih tepat, 500m daripada Syntagma Square yang memercu Kota Athens. Kuil berkenaan adalah monumen binaan bertujuan memanifestasikan interaksi tertinggi manusia Athens terhadap unsur spiritual yang dirasakan mengelilingi mereka.

Istanbul, kota yang menjadi rebutan Timur dan Barat, Islam dan Kristian jelas memposisikan pusat kotanya di mana kedudukan Hagia Sophia dan Masjid Biru hari ini berada. Kedua-dua monumen ikonik berkenaan terletak sebelah bersebelahan Itulah pusat kota. Di mana perhimpunan segala kerencaman kota dimercui oleh institusi spiritual. Shah Alam, di mana masjidnya berada menandai kepusatan kota seperti di Masjid Bandar Baru Nilai dan banyak contoh lagi. Ia memaparkan bahawa masjid adalah landmark kepada sebuah pusat pembandaran, tumpuan utama seluruh warga kota, jantung kebudayaan dan nadi peradaban.

Justeru, peranan masjid sebagai pusat kegiatan spiritual dalam konteks ini pusat ibadah ummat Islam, Rumah Allah hendaklah dipergiatkan untuk kita mencapai hasrat masyarakat madani.

Bertolak daripada nilai teras kemampanan, kesejahteraan, daya cipta dan inovasi, nilai hormat, keyakinan serta ihsan, dikupas dalam buku ‘Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi’ kami lakarkan secara khusus bagaimana peranan rumah ibadah dalam konteks ini – Masjid dapat melangsungkan peranan sebagai inkubator menjelmakan gagasan madani.

Peranan masjid sebagai jantung utama peradaban Islam disinggung. Hijrah Baginda Nabi Muhammad SAW ke Madinah pada 8 RabiulAwwal, tahun ke-14 pengutusan Rasulullah, iaitu tahun pertama Hijrah bersamaan 23 September 622 Masihi ditandai dengan usaha pembinaan masjid yang kini bernama Masjid Nabawi. Dalam al-Rahiq al-Makhtum seperti yang dinukil oleh Dr Zulkifli al-Bakri ;

“Masjid yang dibina itu bukan hanya sekadar untuk menunaikan sembahyang semata-mata, bahkan ia adalah “Jami’ah”. Di situlah kaum muslimin bertemu untuk menerima ajaran Islam dan perintahnya yang suci. Ianya menjadi tempat pertemuan seluruh etnik dan kabilah yang pelbagai. Ia menjadi tempat bertemu dan bermesra di mana dahulunya berkelahian lantaran semangat Jahiliyah. Masjid juga menjadi pengkalan dalam menyusun dan melancarkan seluruh pergerakan dan tindakan. Ianya parlimen untuk sidang permesyuaratan, perundangan dan penguasaan undang-undang. Di samping itu semua, masjid juga merupakan penumpuan untuk sebilangan besar dari kaum muhajirin yang fakir berlindung di dalamnya, yang ketiadaan rumah, harta, keluarga mahupun anak-anak”

Justeru, masjid sebagai pusat kebudayaan (sebagai nukleas kehidupan) perlu sentiasa signinfikan dengan pandangan alam manusia. Tambahan sebagaimana ia selari dengan gagasan madani yang berakar banir dalam tradisi Islam.

Madani tidak tepat jika dipadankan dengan istilah sivik bagi sesetengah yang sengaja mengelabukan. Sampel yang boleh dirujuk sebagai menayangkan kekeliruan ini ialah “Civil Government” diterjemah kepada “Kerajaan Madani” sangat jauh daripada rohnya yang asli.  Perkataan madani dari akar kata ‘al-Din’. Jika kita membaca al-Attas “Islam: The Concept of Religion and the Foundation of Ethics and Morality” akan temui makna yang lebih luas kalimah ‘al-Din’ yang menayangkan makna dasar ; 1) keadaan berhutang; 2) keadaan takluk dan menyerahkan diri ; 3) kuasa dan daya menghukum ; 4) bawaan kecenderungan yang sedia ada pada diri insan. Terbitan daripada kata al-Din ini yang menjadi dasar bagi makna ‘madani’ adalah ‘mudun’, ‘mada’in’, ‘madinah’ yang menjelmakan makna susunan tatatertib serta peraturan kehidupan bermasyarakat dan kehidupan yang berlangsungnya kegiatan perniagaan dan perdagangan dalam kota-kota dan bandaraya. Ini boleh dirujuk dalam karya beliau sebagai yang dinyatakan. Jelas, makna al-Din menawarkan percikan pandangan alam tawhid dengan makna yang sarat nilai.

Berbeza dengan masyarakat sivik yang berakar daripada kata ‘civics’, yang merujuk maksud warganegara daripada bahasa Latin ‘civis’, ada implikasi spiritual istilah madani yang berbeza daripada ‘civil’ yang hanya berkonotasi fizikal. Terma madani sudahpun dibahas Ibn Bajjah abad ke-10, Ibn Khaldun (Abad ke – 13), al-Farabi, Ibn Maskawi jauh lebih awal, bahawa ianya adalah gagasan yang tidak lepas dalam bidikan perbahasan para sarjana Islam ternama.

Masyarakat madani dan pembinaannya dalam rangka menghadapi modenisasi pernah disyarahkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibarahim, pada 26 Sept 1996 di Festival Istiqlal di Jakarta. Beliau mengujarkan : “Yang kita maksudkan dengan masyarakat madani ialah sistem sosial yang subur yang diasaskan kepada prinsip moral yang menjamin keseimbangan di antara kebebasan perseorangan dengan kestabilan masyarakat”.

Ulasan tentang rupa, watak dan ciri masyarakat ini akan panjang. Penulis memahamkan, masyarakat madani ialah sekelompok perhimpunan manusia dalam suatu tatasosial yang meletakkan prinsip moral dan akhlak, merangkul (inklusif), menyebarkan sejahtera, kebaikan kepada alam dan manusia sebagai pancaran kefahaman yang murni daripada pandangan alam tawhidik. Tentang bagaimana ia dijelmakan, institusi ibadah dalam tulisan ini perlu menggalas peranan.

Masjid harus berupaya tampil sebagai pusat kegiatan pelbagai. Kelangsungan fungsi masjid sebagai ibadah khususiyyah akan mengehadkan daya rangkul institusi ini terhadap ummat masyarakat yang mungkin terhitung jauh daripada radar masjid.

Pengurusan istitusi masjid juga perlu didedahkan kemahiran “pengurusan bakat” (talent management). Ianya adalah budaya korporat yang merupakan hikmah kerja kecekapan (itqan) yang merupakan dimensi ketinggian nilai-nilai Islam. Dakwah bil-hal dengan menerapkan budaya profesinalisme, menggalakkan penyertaan awam dalam pengimarahan masjid pada segmen yang secara luaran dilihat program ‘duniawi’.

Contoh sebagai mithal, dunia digital – apakah masjid boleh menjadi medan yang menawarkan ruang kepada anak-anak muda yang menaruh minat dan perhatian terhadap persekitaran digital seperti sukan elektronik (e-games) atau membuka ruang kepada latihan, literasi pelaburan matawang digital patuh syariah. Ini adalah semangat zaman (zeitgeist), jika kita sebagai pentadbir masjid tidak menumpanginya ia akan ditunggang oleh kelalaian.

Bagaimana dengan seni? Termasuk di dalamnya seni pertahanan diri, persembahan dan karya kreatif. Pandangan naif kami, kita boleh rujuk sample case sebagai mithalnya yang pernah berlangsung dalam masyarakat Minangkabau yang mana peranan surau sebagai medan seni dan agama bercantum. Peradaban madani menghitung aspek seni dan budaya yang menjadi jiwa kepada tamaddun. Kita telah bergerak jauh melihat bagaimana jika warga tidak mengisi dada mereka dengan karya seni dan budaya sendiri atau yang mengalir daripada mata air agama, jiwa mereka akan diisi oleh bendasing – pengaruh yang tiada akar dan roh dan semangat yang bersesuaian – contoh KPOP. Institusi masjid harus menjadi katalis kepada pertumbuhan seni yang mendorong kepada tujuan-tujuan menyebarkan salam dan kesejahteraan.

Beberapa contoh masjid di tanah air yang menawarkan kegiatan bersifat ekonomi telahpun tumbuh. Jika boleh ia dipergiatkan lagi ke medan lebih luas. Masjid menjadi entiti mandiri yang membangunkan sayap perniagaan sosial atau social enterprenuship. Tertakluk kepada akta berkaitan yang membenarkan, beberapa jenis perniagaan yang mesra dengan fungsi masjid seperti inap desa, restoran, pengangkutan, pelancongan, alam sekitar atau kepada industri komersial lain perlu difikirkan.

Ia sangat membantu moral masjid jika tukaran keuntungan dipulangkan kepada para jemaah sekitar. Masjid menjadi pusat naungan sebenar dan penyerahan, takluk kaum mustadháfin, kaum rentan. Tidak bergantung hanya kepada sedeqah, infaq, masjid menjadi pusat keusahawanan dan mobiliti sosial, mengangkat darjah karamah insaniah (dignity of man) pada tempatnya yang saksama. Kita sedia maklum, sebahagian galakan untuk menjinakkan hati orang mendekati Islam ialah melalui hadiah. Terlalu banyak rakyat di luar yang berhajatkan pembelaan. Masjid boleh tampil menyambut dengan pemberian hadiah yang menuntut kelangsungan kewangan mapan untuk mengaktifkan.

Selain itu, sukarelawan masjid diaktifkan secara tetap, mengadakan program outreach dan menyediakan sokongan masyarakat ; kaunseling, konsultasi perniagaan, pinjaman tanpa faedah dan sebagainya yang selama ini diperlihatkan hanya oleh institusi yang tidak terlihat dekat dengan masjid. Pada era kini, kita ciptakan. Kita lama memikirkan agar masjid berdiri sebagai pusat yang menjadi tunjang kekuatan ekonomi ummah, bukan menjalankan aktiviti pendanaan secara one-off, tetapi berterusan, ada kitaran dan malar berpanjangan.

Diperlukan pentadbir masjid yang dapat menangkap gelora zaman kini. Tentang pengurusan bakat, saban minggu penyampaian khutbah seperti mendukacitakan. Tiada penghayatan, gelora dan tenaga untuk mendendangkan ‘nasihat’ dalam pencak yang menggemuruhkan. Bakat mereka yang menjadi khatib harus diperdanakan dengan menolak mereka yang memilikinya mengambil tempat seminggu sekali untuk memberi peringatan yang berzat tinggi.

Baiknya para penyampai khutbah daripada kalangan asatizah yang berbakat atau terlatih. Menguasai ilmu normatif Islam dan kemahiran pengucapan awam, bahasa badan, bahasa mata, ekspresi wajah ikut bersama isi teks yang dibaca. Bukan menekur menadah teks seolah duduk di malam sunyi tanpa bertatap ke muka hadirin. Sebaiknya khatib bersikap energetik dan menguasai perhatian jemaah.

Manakala cakerawala kandungan khutbah berkenaan menyentuh isu-isu yang sering dilihat luar lingkaran agama, tetapi sebenarnya bahagian daripada anjurannya juga. Penulis teks diberikan latihan pemikiran kritis, dipertajamkan kefaqehannya dalam memahami hukum, disamping menambah nilai kemahirannya terhadap jalan berfikir penentuan masalah dan pemecahannya. Bukan sekadar memasukkan ajuan penyelesaian simplistik yang tidak substansif.

Antara tema khutbah yang berkuasa menjadi pemboleh daya (enabler) untuk mencapai matlamat madani ; fastabiqul khairat, fiqh taáyush (co-existence), dialog antara penganut agama dan kaum, negara adil (just state), budaya intelektualisme, pengembaraan melihat dunia yang warna warni, inovasi sosial, pengagihan kekayaan (distributive wealth) disamping tema-tema yang telah makruf, bersempena dengan hari kebesaran.

Jika ini tidak ditangani, khutbah akan sekadar jadi eksesais rutin menghadapi jumaat tanpa meninggalkan kesan kepada jemaah. Bahkan dilihat lesu, tidak bermaya jika khatib terlalu pasif. Malanglah perhimpunan terbesar ummat seminggu sekali ini gagal memberikan peringatan kepada mereka yang mungkin hanya sekali itulah ke masjid dalam seminggu.

Masjid adalah pusat kota, pusat peradaban dan mercu tanda tertinggi terhadap negara yang menjadikan manual spiritualisme sebagai kompas moralnya. Masjid adalah rumah Allah, institusi paling suci dalam Islam, institusi paling dipercayai. Dengan pemikiran kritis dan kreatif para pemegang taruh institusi masjid, kita dapat menjelmakan peranannya yang lebih mencapah, menjadi payung tertinggi negara bangsa madani.

Muhamad Hanapi Jamaludin
Pengarah Pengasas Benevolent Malaysia