KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pemandu kereta terlelap semasa di atas jalan menyebabkan kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah motosikal.
Namun, keadaan mencurigakan pemandu dan penumpang kereta jenis Nissan itu tidak sedar diri.
Hasil siasatan mendapati pemandu dan penumpang itu rupa-rupanya disahkan positif dadah.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, nahas itu berlaku pada 3 Mac yang lalu jam lebih kurang 12.30 tengah hari di Jalan Ipoh, Batu 5 menghala ke Batu Muda, yang melibatkan tiga buah kenderaan.
“Kemalangan berlaku semasa pemandu seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun memandu kenderaan jenis berwarna Perak telah terlelap dan melanggar bahagian belakang sebuah lori jenis Hino yang berada di hadapannya.
“Akibat perlanggaran tersebut, lori berkenaan terlanggar bahagian belakang motosikal di lorong yang sama menyebabkan penunggang motosikal terjatuh ke jalan,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini.
Tambah beliau, dalam kemalangan tersebut tidak melibatkan kecederaan kepada pemandu dan penunggang motosikal.
Bagaimanapun katanya, anggota polis Trafik yang sampai ke tempat kejadian mendapati keadaan yang mencurigakan kerana pemandu kereta yang melanggar kenderaan lain itu tidak sedarkan diri bersama penumpang di sebelahnya.
Kedua-dua individu itu telah dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur di Jalan Tun H.S.Lee dan telah menjalani ujian saringan air kencing di IPD Dang Wangi.
“Hasil dari pemeriksaan tersebut mendapati kedua-dua suspek telah disahkan positif dadah jenis Methamphetamine, Ketamin, Benzo (Erimine 5), Ampetamin dan ganja (THC).
“Kini kedua-dua individu itu telah ditahan dan sedang disiasat oleh IPD Dang Wangi,” katanya. – MalaysiaGazette