KUALA LUMPUR – Isu kualiti makanan kepada mangsa banjir menjadi topik di Dewan Rakyat apabila dua ahli Parlimen dari Johor menggesa kerajaan melihat kualiti makanan yang dihantar kepada mangsa banjir.
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) membangkitkan isu makanan yang sudah basi atau nasi yang tidak masak yang tidak sepatutnya dihantar kepada mangsa-mangsa terlibat.
“Minta kerajaan tengok balik. Nombor satu kualiti makanan. Jangan hantar makanan basi, nasi tak masak.
“Kedua minta tolong supaya percepatkan urusan (isu penghantaran makanan) ini kerana dulu kita tak ada masalah.
“Sejak 2006 kita sudah berkali-kali menguruskan banjir tetapi, kali ini disebabkan kita tukar format,” katanya ketika mencelah perbahasan Bajet 2023 Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) di Parlimen hari ini.
Ka Siong seterusnya berkata, kerajaan seharusnya tidak mengambil satu kontraktor sahaja untuk membekalkan makanan kepada mangsa-mangsa banjir sebaliknya, memperbanyakkan lagi jumlahnya.
Terdahulu, Aminolhuda dalam ucapannya membahaskan mangsa-mangsa banjir di Johor mengalami kekurangan seperti khemah di kawasan tempat mereka dipindahkan.
“Penduduk kekurangan peralatan. Sudah duduk dan pindah di tempat yang ditentukan tetapi khemah lambat sampai.
“Kami mengharapkan khemah, selimut dan keperluan asas untuk mereka dapat berteduh dan dapat berehat amat diperlukan,” ujarnya.
Selain itu beliau berkata, makanan yang dihantar kepada mangsa-mangsa banjir seperti di kawasannya juga tiba lewat selain mahu agar kerajaan memperbanyakkan pembekal makanan. – MalaysiaGazette