Datuk Ahmad Yakob
Ahmad Yakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Pas tetap menuntut bayaran tunai petroleum.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, beliau kesal dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman berhubung perkara tersebut pada 23 Februari lalu.

Melalui Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat, Azalina menyatakan bahawa hak mendapatkan bayaran tunai petroleum mesti berada dalam perairan 3 batu nautika dan penyaluran adalah di atas nama wang ehsan.

Ahmad menegaskan, Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 5 November 2015 telah menolak Akta Laut Wilayah 2012.

Penolakan tersebut berasakan kerana Kerajaan Persekutuan mengambil peluang dengan menghadkan sempadan setiap perairan kepada 3 batu nautika sekali gus menafikan hak Kelantan menerima bayaran wang tunai petrroleum.

Tambah beliau, Perjanjian Kerajaan Kelantan dan Petronas pada 9 Mei 1975 dalam fasal 1(1) jelas menyatakan Petronas perlu membayar wang tunai kepada kerajaan negeri secara bayaran tahunan.

Nilai bayaran berkenaan setara dengan 5% dari nilai petroleum yang didapati dan diperolehi di Kelantan.

Ahmad juga berkata, minit mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang bersidang pada 7 Jun 2018 menyatakan bahawa ‘Memansuhkan program wang ehsan dan bayaran tunai petroleum akan disalurkan secara telus kepada Kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu tanpa mengambil kira status negeri tersebut yang dikuasai oleh pembangkang’.

“Dalam masa yang sama, kerajaan negeri telah mengambil pelbagai langkah dan usaha dalam menuntut bayaran tunai petroleum melalui enam siri rundingan yang telah diadakan antara Menteri Besar Kelantan dan Perdana Menteri bermula tahun 2013 hingga tahun 2021.

“Dan satu pertemuan turut diadakan bersama Pengerusi dan Pengurusan Tertinggi Petronas pada 10 Julai 2020.

“Oleh itu kerajaan negeri dengan ini menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menjelaskan tuntutan bayaran tunai petroleum secara terus kepada kerajaan negeri demi kepentingan rakyat,” kata Ahmad dalam kenyataan hari ini.-MalaysiaGazette