PUTRAJAYA – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub melahirkan rasa terharu dengan keprihatinan pemain industri menangani kekurangan bekalan makanan untuk mangsa banjir.
Ini membuktikan pemain industri sangat peka membantu kerajaan untuk menghadapi keadaan luar jangka khususnya musim banjir besar.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih bagi pihak kerajaan kepada pemain industri kerana memberikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Johor, Pahang dan Melaka.
“Tidak sampai 24 jam bantuan yang kita minta telah sampai dan ini membuktikan pemain-pemain industri sangat peka membantu kerajaan menghadapi banjir luar biasa tahun ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Pelancaran Rahmah Raya anjuran pusat beli-belah AEON Big, IOI City Mall, di sini, hari ini.
Antaranya pemain industri itu ialah Mydin, Shopee, Lazada, Lotus, Econsave, pasaraya Luk Luk, Marry Brown, MRCA dan 99 Speedmart.
Selain itu, beliau amat berbesar hati apabila semakin ramai pemain industri tampil membantu rakyat yang terjejas teruk akibat banjir.
“Pemain industri ini turut menyumbang dalam bentuk Bakul Rahmah dan juga bantuan-bantuan yang diperlukan seperti selimut, toto dan lain-lain.
“Saya sangat berasa terharu dan juga berterima kasih di atas komitmen dan sumbangan yang telah mereka berikan tanpa mengira masa.
“Ini membuktikan bahawa mereka sangat prihatin dan inilah yang kita harapkan akna dapat dipanjangkan pada masa akan datang,” katanya.
Selain itu, Salahuddin memuji pemain industri terkenal, AEON Co. (M) Berhad yang melancarkan Rahmah Raya bagi membantu masyarakat menangani kos sara hidup yang tinggi ketika ini.
“Langkah AEON dan AEON Big yang menyumbangkan Bakul Rahmah di semua 35 cawangan AEON dan 21 cawangan AEON BiG perlu dipuji.
“Kesemua Bakul Rahmah yang bernilai RM168,000 itu akan disampaikan kepada 1,140 keluarga B40 dan miskin tegar selama tiga bulan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette