SABTU lalu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong membayangkan tentang kemungkinan partinya tidak bertanding dalam enam pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka berlangsung pertengahan tahun ini.
Senario itu merupakan antara tiga situasi yang dibentangkan Ka Siong dalam ucapannya pada majlis sambutan ulang tahun ke-74 MCA di Kuala Lumpur.
Dua lagi senario adalah MCA bertanding menggunakan logonya sendiri dan parti itu bertegas untuk meletakkan calonnya di beberapa kerusi.
Seperti yang diakui Ka Siong sendiri, hakikat yang pasti adalah MCA ketika ini tidak menyandang walau satu kerusi pun di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Pulau Pinang sememangnya bukan kawasan tradisi MCA yang kini lebih sinonim sebagai kubu terkuat DAP sejak 2008 dan parti itu tidak lagi bertapak di Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kedah selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Kelantan pula sejak dahulu lagi merupakan medan pertembungan calon-calon Melayu yang diketengahkan oleh parti-parti bertanding, maka MCA tidak perlu memberi tumpuan terhadap negeri itu.
Boleh dikatakan MCA kini berada dalam situasi ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa’ setelah Barisan Nasional (BN) menyertai Kerajaan Perpaduan selepas PRU15.
Sebagai sebuah parti politik yang veteran, sudah tentu MCA mahu kehadirannya dalam pentas politik tanah air tetap dirasai terutamanya oleh kaum Cina yang diwakilinya sejak 74 tahun lalu.
Namun, tanpa penyertaan dalam PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Pulau Pinang dan Kedah, MCA tidak mempunyai ruang untuk menunjukkan keberadaannya sekali gus sukar untuk mengukur tahap sokongan rakyat terhadapnya.
Lebih dibimbangi, sinar politik MCA akan menjadi semakin malap sehingga menyukarkan parti itu mempertahankan dua kerusi Parlimen yang disandangnya ketika ini pada PRU16.
Sehubungan itu, BN khususnya UMNO tidak seharusnya membiarkan MCA terkontang-kanting sendirian dalam usaha memulihkan kekuatan dan pengaruhnya.
Memang UMNO boleh mengambil jalan mudah dengan meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU16 bagi meneruskan kelangsungan politiknya, namun tindakan itu boleh meranapkan kesepaduan dalam BN.
Jika dasar status quo digunakan dalam rundingan pembahagian kerusi kelak, MCA langsung tidak berpeluang untuk bertanding pada PRN di lima negeri manakala parti itu hanya dapat meletakkan calonnya di kerusi Parlimen Ayer Hitam dan Tanjung Piai pada PRU16.
Dalam hal ini, PH khususnya DAP perlu berjiwa besar dan ‘menjaga air muka’ MCA dengan memberi laluan kepada parti itu untuk bertanding di kerusi-kerusi yang pernah menjadi kawasan tradisi mereka.
Jumlahnya mungkin tidak perlu banyak namun cukup untuk membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan berupaya mewujudkan situasi menang-menang kepada semua parti yang bernaung di bawahnya termasuk MCA. – MalaysiaGazette