GEORGE TOWN – Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sedia ada akan menjadi ADUN angkat bagi mengisi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang susulan usul pengosongan itu diluluskan semalam.
Bagaimanapun, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow tidak mendedahkan keempat-empat nama ADUN angkat tersebut.
Kon Yeow berkata, empat ADUN angkat itu akan menguruskan kawasan berkenaan agar pengundi di situ tidak berasa terpinggir dengan kekosongan tersebut.
“Selain itu, tindakan ini juga dapat memastikan pembelaan dan kebajikan penduduk di kawasan dijaga dengan baik oleh pihak kerajaan negeri melalui penyaluran peruntukan-peruntukan yang sama yang diberikan kepada ADUN di kawasan masing-masing,” katanya.
Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata demikian menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) berhubung tindakan kerajaan negeri terhadap pengosongan kerusi di empat DUN yang diluluskan semalam.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Guan Eng berkenaan dakwaan ketua pembangkang Parlimen dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa tindakan meluluskan usul mengosongkan kerusi empat ADUN adalah penyalahgunaan kuasa, Kon Yeow berkata, kenyataan berkenaan adalah penghinaan kepada Mahkamah Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.
“Tindakan pengosongan kerusi melibatkan empat ADUN Bersatu semalam dibuat berikutan keputusan panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan pada Ogos tahun lalu yang memutuskan peruntukan di bawah enakmen anti lompat parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.
“Malah, keputusan semalam juga selari dengan Perkara 14A Perlembagaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkenaan kesahihan klausa-klausa dan perkara-perkara yang melarang wakil rakyat melompat parti,” kata beliau.
Semalam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang telah membahaskan dan meluluskan usul bagi mengisytiharkan pengosongan empat kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Empat ADUN terlibat terdiri daripada ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya); Zulkfili Ibrahim (Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang) turut diarah keluar meninggalkan sidang DUN selepas usul itu diluluskan.
Mesyuarat Ketiga Penggal kelima DUN Pulau Pinang Ke-14 itu menyaksikan Speaker, Datuk Law Choo Kiang membenarkan usul berkenaan dicadang dan dibahaskan terlebih dahulu, selepas mengambil kira kepentingannya yang berkaitan dengan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang serta berikutan keputusan mahkamah berkenaan enakmen anti lompat parti pada 2 Mac lepas. – MalaysiaGazette