NORAINI AHMAD

PENYANDANG Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad telah mengesahkan akan mempertahankan semula jawatan itu pada pemilihan parti bulan ini.

Jawatan tersebut disandangnya sejak tahun 2018, ketika UMNO kalah dan tidak menjadi kerajaan.

Ketika itu juga ramai pemimpin UMNO lompat parti dan menjauhkan diri hanya kerana UMNO tidak lagi menjadi kerajaan.

“Bayangkan ketika itu, ramai pemimpin UMNO melompat parti dan tidak kurang pula menjauhi daripada UMNO. Ketika saya mengambil-alih Wanita, kita berada dalam serba kekurangan dari segi kewangan.

“Namun berkat kekuatan jentera Jalinan Rakyat wanita UMNO, semangat dan kesetiaan kepada parti, kami mampu memenangi tujuh PRK dan tiga PRN di Sabah, Melaka dan Johor,” katanya.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, bekas menteri pengajian tinggi itu menegaskan, keputusannya mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia kerana beliau baru sepenggal memegang jawatan tersebut, itu pun termasuk dua tahun tahun PKP yang membataskan peranannya.

Menurut Noraini, masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk membawa Wanita UMNO ke arah lebih gemilang berdasarkan tiga perkara yang telah ditetapkan sebagai hala tuju sayap parti yang sering disamakan sebagai tulang belakang UMNO itu.

Pembawa Hala Tuju

Hala tuju ini termasuk membawa wanita UMNO yang progresif dengan memastikan gerak kerja Jalinan Rakyat (JR) akan dimantapkan secara radikal menggunakan teknologi terkini dan analitik data raya termaju.

Selain itu, Noraini juga akan memastikan representasi kaum wanita di dalam arena politik akan sentiasa dipertingkatkan seiring dengan zaman dan visibiliti melalui pemantapan gerak kerja media sosial dalam melahirkan lebih ramai pemimpin wanita yang berwibawa.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu juga berkata, gerak kerja Wanita akan terus diperkemas dan lebih mantap agar diterima sebagai gerakan amal bakti paling diyakini rakyat dan berintegriti tinggi.

“Saya akan melakukan segala yang terdaya dengan segala kekuatan semangat dan iltizam yang saya ada untuk meningkatkan lagi integriti dan kredibiliti wanita di dalam parti,” katanya.

Wanita Masa Depan

“Kami pasukan Wanita yang mengambil-alih UMNO ketika itu menggunakan kreativiti dan strategi di luar kotak bagi memastikan UMNO terus dominan dan relevan.

“Terdapat tohmahan politik kononnya, saya tidak menyuarakan dengan lantang isu-isu pembelaan untuk Wanita dan membantu memartabatkan kedudukan Wanita.

“Namun, cara saya berbeza. Mungkin saya kurang bercakap tapi bagi saya ” actions speaks louder than words”,” katanya.

Noraini menarik perhatian mengenai kejayaannya mendesak UMNO mengiktiraf jawatan Ketua Wanita setaraf Timbalan Presiden UMNO.

Malah, katanya, jumlah calon Wanita untuk semua pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri juga meningkat kini berbanding sebelum ini.

“Contoh di PRN Johor yang meletakkan jumlah calon Wanita lebih 25 peratus,” katanya sambil menekankan fakta bahawa itu adalah bukti kepimpinannya dalam meneraju Wanita UMNO begitu relevan.

Kata Noraini lagi, ketika menjadi Menteri Pengajian Tinggi, beliau berjaya mengiktiraf kemampuan dan kebolehan Wanita di antaranya dengan melantik Tan Sri Zarinah Anwar sebagai Pengerusi Universiti Malaya sebuah universiti tertua dan 100 terbaik dunia dan Puan Sri Rohani sebagai Pengerusi UPSI iaitu universiti pendidikan nombor satu.

Kesemuanya itu, katanya, merupakan pengiktirafan terhadap Wanita.

Malah semasa Noraini menjadi Menteri Pengajian Tinggi, buat pertama kalinya dalam sejarah UiTM beliau telah melantik seorang Wanita sebagai Naib Canselor UITM iaitu Profesor Roziah Mohd Janor manakala Prof Massila pula sebagai Naib Canselor UTEM.

“Tidak kurang 13 orang Wanita menyandang sebagai Timbalan Naib Canselor dan Naib Canselor pelbagai universiti di negara ini.

“Begitu juga pelantikan Wanita sebagai Lembaga Pengarah Universiti (LPU). Hampir seratus orang di kalangan Wanita yang berkelayakan dari segi pendidikan dan profesional dilantik sebagai Lembaga Pengarah IPTA dan 100% pengerusi penasihat kolej-kolej komuniti di seluruh negara diberikan kepada Wanita.

“Saya sangat yakin dapat memperkasakan lagi Wanita sekiranya saya diberikan lagi peluang untuk memimpin Wanita UMNO Malaysia.

”Masih banyak yang ingin saya lakukan bagi memastikan Wanita akan terus menjadi lebih visible, relevant dan prominan bagi mendepani cabaran mengukuhkan parti dan negara seiring dengan zamannya, Insyaalah,” kata Noraini.

Menurut Noraini, semua usaha dan kejayaan Wanita UMNO adalah berasaskan semangat berpasukan tinggi, dukungan bersama akar umbi parti demi memastikan yang terbaik untuk parti dan negara.

Beliau juga yakin bahawa hanya kepimpinan Wanita yang berintegriti tinggi, berjiwa kental lagi teruji sahaja berupaya untuk menyegarkan lagi parti UMNO. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast