KUALA LUMPUR – Mahkamah Rendah Syariah, di sini, diberitahu bahawa pelakon, Puteri Sarah pernah dipukul suaminya, Syamsul Yusof menyebabkan beliau bertindak keluar rumah.

Puteri Sarah berkata, perkara itu terpaksa didedahkan selepas Syamsul enggan melafazkan cerai terhadapnya.

Namun pelakon tersebut berkata, ketika insiden itu berlaku beliau telah diselamatkan oleh ibu mertuanya.

“Kalau boleh saya tidak mahu buka cerita ini, buka aib. Tapi saya terpaksa cakap kerana Syamsul enggan lepaskan saya jadi saya terpaksa dedah dalam mahkamah.

“Dulu jujurnya saya tidak bertindak buat laporan atau sebagainya kerana masih tersimpan rasa sayang. Tambah pula, bila orang kata saya buka aib ketika itu, saya tak nak buat apa-apa tindakan atau buat laporan polis. Tiada siapa yang tahu mengenai perkara itu. 

“Yang selamatkan saya dan keluarkan saya dari rumah adalah mak mertua saya sendiri. Syamsul sendiri tahu mengapa saya keluar rumah,” katanya yang ditemani oleh peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader di luar bilik perbicaraan.

Pada 16 Januari lalu, Puteri Sarah atau nama sebenar Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian itu di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Sementara itu, Akberdin berkata, insiden tersebut merupakan  salah satu fakta anak guamnya keluar dari rumah selepas didakwa nusyuz oleh Syamsul. 

Jelasnya, ia juga adalah fakta mengapa Puteri Sarah mengambil keputusan untuk keluar rumah.

“Kami kemukakan fakta ini selepas Syamsul menuduh anak guam saya bertindak keluar dari rumah (nusyuz). 

“Pihak kami perlu memberikan penerangan kepada mahkamah apa yang sebenarnya berlaku. Namun begitu, mengenangkan hubungan baik dengan keluarga mentua dia kembali semula ke rumah. Tuduhan kata anak guam keluar rumah tanpa izin tidak betul,” ujarnya.

Pengarah filem, Syamsul Yusof hadir ke mahkamah bagi sebutan prosiding sebutan kes permohonan cerai dengan isterinya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 07 MAC 2023.

Bagaimanapun usaha pemberita untuk mendapatkan ulasan  daripada Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Md Yusof  tidak berhasil kerana pengarah filem tersebut hanya menggelengkan kepala beberapa kali sambil tersenyum.

Terdahulu Hakim Syarie, Akmaluddin Ilyas memerintahkan kedua-dua pihak melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka. – MalaysiaGazette