Anwar Ibrahim. Foto MUHD NA'IM, 05 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia memberi peruntukan kepada pembangkang melalui proses perbincangan bagi mengetahui keperluan semasa di negeri-negeri terlibat.

Bagaimanapun beliau berkata, sehingga kini belum ada perbincangan di antara wakil-wakil rakyat pembangkang dengan pihak kerajaan.

“Tentang peruntukan, saya tidak pernah mengatakan tidak ada. Sepanjang Ahli parlimen Pagoh (Tan Sri Muhyiddin yassin) jadi Perdana Menteri sebelum ini, kami tidak pernah dapat peruntukan, tidak mengapa. Kerajaan kita hari ini Madani, jadi kalau ikut yang dulu Pagoh tidak adillah, itu maksud Arau? Sebab Arau kata jangan ikut pengalaman lama yang tidak beri peruntukan kepada pembangkang. Saya tidak mahu zalim.

“Bincang kaedahnya. Saya cadangkan ada proses rundingan supaya kita cari kaedah yang baik. Pada prinsipnya Arau, saya tidak menolak prinsip memberi peruntukan kepada pembangkang seperti yang diberikan kepada Ahli-Ahli Parlimen kerajaan. Ini pendirian saya daripada dulu tapi belum ada proses rundingan, yang ada proses permusuhan.

“Jadi saya usulkan mulakan proses rundingan dan saya arahkan Ketua Whip dan menteri yang berkenaan berunding dan kita (akan) putuskan. Kalau cepat selesai (rundingan) cepatlah lulus, kalau esok, lusa kita boleh lulus,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim (Perikatan Nasional) tentang permintaan dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang supaya diberikan peruntukan sebanyak RM300,000 khususnya di negeri yang terjejas banjir baru-baru ini.

Mengulas lanjut Anwar berkata, beliau akan meminta penjelasan daripada Ahli-Ahli Parlimen bagi negeri Kedah, Perlis dan Terengganu untuk mengetahui keperluan peruntukan semasa.

“Saya akan tanya bagaimana Kedah, Perlis dan Terengganu kalau ada persefahaman boleh jalan… (Boleh berikan). Saya tidak ada nak gaduh apa-apa, yang maki hamun saya di luar mengatakan saya batalkan (peruntukan), saya zalim, ini tidak ambil kira apa yang pernah berlaku,” ujarnya.

Semalam, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN mencadangkan supaya kerajaan memberi peruntukan berjumlah sekurang-kurang RM300,000 kepada semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang yang melibatkan kawasan terjejas akibat banjir.

Jelas bekas Perdana Menteri itu tersebut, peruntukan terbabit bagi membolehkan bantuan disalurkan segera kepada mangsa banjir di kawasan Parlimen masing-masing. – MalaysiaGazette