KUALA LUMPUR – Tiada lagi istilah Petaling Street kebal daripada tindakan undang-undang.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran kepada peniaga yang menjadikan Petaling Street sebagai hab barangan tiruan apabila merampas barang beg tangan, dompet, kasut dan jam yang dipercayai tiruan bernilai lebih RM500,000.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, rampasan itu dilakukan menerusi operasi bersepadu yang dijalankan pihaknya bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Ahad lalu.
“KPDN dengan kekuatan 122 anggota bersepadu telah berjaya menyerbu tujuh stor yang dijadikan tempat penyimpanan barang-barang yang disyaki tiruan pelbagai jenama sebelum pemeriksaan berjaya membawa kepada penemuan barang tiruan itu.
“Kesemua barangan tiruan itu disita untuk tindakan lanjut kerana disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah.
“Pemeriksaan lanjut turut berjaya membawa kepada penahanan dua lelaki warga tempatan yang mengaku sebagai pemilik stor berkenaan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Menurut Ariffin, hasil pemeriksaan membawa kepada rampasan 2,662 unit barang tiruan bernilai RM570,000.
Tambah beliau, siasatan mendapati barangan tersebut diperoleh dari luar negara.
“Kesemua barang tiruan yang berkualiti tinggi ini dijual dengan harga RM500 sehingga RM4,000 bagi seunit di Petaling Streets mensasarkan pelancong yang berkunjung ke situ.
“Selain itu, siasatan pasukan penguatkuasa juga mendapati jam tangan tiruan berjenama dijual dengan harga RM750 sehingga RM4,000 seutas,” katanya.
Ariffin berkata, siasatan rampasan barang tiruan berkenaan dilakukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001), Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987.
Ujarnya, sejak awal Januari lalu sebanyak 25 kes disiasat mengikut akta berkenaan membabitkan 24,537 unit barangan disita berjumlah RM1.2 juta.
“Selain itu, jumlah tangkapan di bawah Ops Jeriji 4.0 bagi tahun 2023 adalah seramai 13 individu berkaitan dengan harta intelek,” katanya. – MalaysiaGazette