SHAH ALAM – Perwakilan UMNO diingatkan agar mengangkat pemimpin-pemimpin yang setia kepada parti dalam Pemilihan UMNO 2023 pada 11 dan 18 Mac ini.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak mahu pemimpin yang memenangi dalam pertandingan ini memberi ancaman kepada kepimpinan dan kelangsungan parti.
“Pastikan pilih pemimpin-pemimpin yang setia kepada parti agar terus dapat menggarap parti ini dengan kuat
“Kita tak mahu jawatan-jawatan yang dimenangi mengugut kepimpinan, mengugut parti itu sendiri.
“Kita tak mahu ada lagi duri dalam daging dalam kepimpinan yang akan datang,” katanya berucap merasmikan Majlis Pengenalan Calon-Calon bagi Naib Presiden, Majlis Kerja Tertinggi dan Exco Sayap UMNO di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, malam ini.
Ahmad Zahid juga mengingatkan calon-calon yang bertanding menentukan kemenangan kerana keupayaan diri sendiri dan bukannya campur tangan orang luar.
“Jangan kemenangan kita disebabkan oleh tarian-tarian yang telah dicipta oleh dalang-dalang di belakang
“Kita menang atas kapasiti sendiri, kita menang atas ketokohan dan kemampuan yang ditentukan perwakilan, bukan mengikut telunjuk orang luar,” katanya.
Beliau memberi amaran kepada parti politik lain agar tidak mencampuri urusan UMNO khususnya dalam pemilihan kali ini.
“Pertandingan ini adalah antara kita, sedarah sedaging, biarpun ada parti-parti lain sibuk untuk mengetahui dan cuba campur tangan secara tidak langsung,” katanya.
Katanya, campur tangan parti lain dalam pemilihan kali ini hanya merugikan mana-mana pemimpin yang memenangi pertandingan ini.
“Jangan sampai kita hilang kelayakan sebagai calon dan jangan sampai dibatalkan walaupun kemenangan berpihak kepada kita.
“Saya tak campur dalam soal ini, tapi saya serahkan kepada kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Tan Sri Shahrir Abdul Samad untuk menentukan keabsahan kemenangan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid memberi bayangan kepimpinan baharu UMNO selepas pemilihan ini bakal menentukan kemenangan parti dalam pilihan raya akan datang.
“Biarpun UMNO dinafikan dalam dua kali pilihan raya, tetapi Insya-Allah dengan fikiran baharu bagi semua peringkat.
“(Kepimpinan baharu) akan menentukan semula kerelevenan UMNO di dalam PRU yang akan datang dan Insya-Allah dalam PRN tidak lama lagi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette