KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau diminta ke Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya esok.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menafikan beliau ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika bermain golf di Selangor hari ini, seperti yang disebarkan oleh sebuah portal berita .
Menurut Muhyiddin, pada hari ini beliau hadir ke beberapa mesyuarat berkaitan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang akan bermula Jumaat ini.
“Bagaimanapun esok Khamis saya diminta ke Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 11 pagi,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Sebelum ini akaun Bersatu telah dibekukan oleh SPRM dan beberapa pemimpin tertinggi parti itu disiasat dan ada yang dituduh di mahkamah atas dakwaan menyeleweng dana kerajaan di bawah Inisiatif Projek Jana Wibawa. – MalaysiaGazette