PETALING JAYA – Dua rakan sejenayah menyamar penunggang e-hailing dengan memasang kotak di belakang motosikal dan meragut pejalan kaki akhirnya tersungkur di tangan polis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pada 21 Februari lalu, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang lelaki berusia 25 tahun yang menjadi mangsa ragut.
Dalam aduan itu, mangsa mendakwa kejadian ragut berlaku pukul 10 pagi semasa kejadian dia sedang berjalan kaki melintasi jalan untuk pergi ke Plaza 33.
“Tiba-tiba mangsa didatangi seorang suspek menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 dengan keadaan beg penghantar makanan syarikat e-hailing terkemuka di tempat duduk belakang sebelum meragut telefon bimbit mangsa jenis iPhone dan melarikan diri,” katanya dalam sidang media hari ini.
Tambah Mohamad Fakhrudin, bertindak atas maklumat dan risikan itu, polis pada 22 Februari lalu telah pergi ke satu kawasan perumahan di Jalan Gasing Indah sebelum berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun.
Katanya, hasil soal siasat, suspek telah mengaku terlibat dalam kes ragut yang sedang disiasat mengaku telah menjual telefon bimbit mangsa kepada seorang lagi rakan sejenayahnya yang masih bebas.
“Berpandukan kepada maklumat suspek pertama itu, polis berjaya membuat satu lagi serbuan pukul 9 malam hari yang sama sebelum berjaya membawa kepada tangkapan ke atas seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun di Kampung Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
“Pemeriksaan ke atas suspek berjaya membawa kepada rampasan seunit telefon pintar berjenama iPhone yang disyaki kepunyaan mangsa,” katanya.
Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan semakan mendapati suspek pertama mempunyai tiga rekod lampau berkaitan samun dan mencuri kenderaan manakala suspek kedua mempunyai satu rekod lampau kesalahan dadah.
Tegas Mohamad Fakhrudin, hasil tangkapan kedua-dua suspek berjaya membantu polis menyelesaikan dua kes ragut jalanan di sekitar daerah tersebut.
Kedua-dua suspek itu direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untui membantu siasatan lanjut dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan sewajarnya.- MalaysiaGazette