Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bersalaman bersama ketua-ketua Jabatan Peringkat Negeri ketika hadir ke sesi libat urus mengenai Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) ketika di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 09 MAC 2023.

PUTRAJAYA – Kerajaan menyasarkan penglibatan kesemua 159 pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk agensi dan wakil-wakil negeri menjadi sebahagian daripada kumpulan strategik dalam menyediakan ekosistem Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, penyertaan itu akan memudahkan penyediaan kemudahan bawah bidang kuasa PBT.

“Satu kumpulan besar yang boleh menerima manfaat daripada khidmat kumpulan B40 dan miskin tegar ini adalah PBT kerana mereka mempunyai banyak kemudahan awam seperti balai raya, tandas dan taman di seluruh negara yang diusahakan oleh kontraktor yang biasanya menggunakan pekerja asing.

“Sebab itu sesi libat urus hari ini memberi tumpuan kepada dua kumpulan iaitu PBT yang mempunyai pelbagai kemudahan dan wakil kerajaan negeri kerana kita hendak pastikan mereka turut serta terutamanya jika mereka ada tanah-tanah yang boleh dimasukkan ke dalam program IPR untuk dibuka kepada penerima-penerima,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sidang media selepas sesi libat urus Menteri Ekonomi bersama ketua-ketua jabatan peringkat negeri mengenai IPR di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan di sini hari ini.

Menurut Rafizi, sehingga kini, hampir 15,000 permohonan telah diterima sejak inisiatif bagi membantu isi rumah miskin dan B40 itu dilancarkan 10 hari lalu.

Beliau turut berharap lebih banyak agensi-agensi kerajaan yang lain dapat menyertai IPR sekali gus menambah jumlah kumpulan strategik dalam menjayakan ekosistem tersebut.

“Kami juga akan turun ke negeri-negeri untuk teruskan lagi sesi libat urus seperti ini cuma harapan kita seberapa banyak PBT dan agensi kerajaan yang lain untuk mula turut serta,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tapak contoh pertama bagi program rintis pertanian di bawah IPR dijangka akan dilancarkan kira-kira tiga minggu lagi di Putrajaya membabitkan seramai 20 penerima.

“Sasaran kita ia akan dilancarkan pada minggu pertama April, memang penat untuk siapkan sebab kita kena bersihkan tapak, infrastruktur, letak rak dan sistem fertigasi,” ujarnya.-MalaysiaGazette