Tangkap layar hantaran di Facebook Datuk Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR- “Apa lagi yang saya perlukan dalam hidup ini apabila saya memiliki wanita ini? Terima kasih (Datin Wong) Mew Choo. Saya lelaki paling bertuah dalam dunia ini,” kata Datuk Lee Chong Wei di Facebooknya.

Lagenda badminton negara itu mempamerkan sisi romantiknya dengan meluahkan penghargaan terhadap buah hatinya sempena Hari Wanita Sedunia menerusi satu gulungan video dengan kapsyen yang sangat bermakna.

“Ada seseorang merakamkan video secara rahsia dan menghantar klip berkenaan kepada saya. Ini adalah video mengenai dirinya (Mew Choo), ketika saya sedang berkongsi mengenai detik paling sukar dalam karier saya.

“Saya melihat video ini, dan tiba-tiba hati saya luluh dan menangis,

“Sayang kamu 10,000 tahun. Kepada semua wanita di seluruh dunia, selamat menyambut Hari Wanita Sedunia,” katanya.

Di dalam video itu, bekas pemain badminton wanita negara, Mew Choo kelihatan sedang menitiskan air mata ketika Chong Wei berkongsi pengalaman sukar sepanjang kerjayanya di majlis pelancaran patung lilinnya minggu lalu.

Mew Choo yang tidak henti-henti mengesat airmatanya ditenangkan anak pasangan itu, Terrence.- MalaysiaGazette