KUANTAN – Calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota, Mohd Iqbal Jaafar Sidek berazam mengubah corak kehidupan golongan muda kawasan itu agar lebih baik daripada sebelumnya.
Mohd Iqbal berkata, keputusan untuk bertanding bukan untuk mengejar jawatan tetapi ingin berbakti di kawasan sendiri sekiranya diberi peluang.
“Kalau amati Bolok itu saya kongsikan ialah ‘Bukan orang lain, orang kampung kita’, jadi saya mohon sokongan dan restu semua menyokong hasrat dan keinginan saya memimpin Pemuda UMNO Indera Mahkota untuk kebaikan kita bersama.
“Saya yakin perjuangan lebih bermakna jika dapat berganding bersama untuk memberi nafas baharu kepada parti bersama Calon Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota, Shafiq Amri Zailan,” kataya kepada MalaysiaGazette.
Kata Ikbal, gandingan mereka berdua dijangka dapat meneruskan kesinambungan perjuangan Pemuda UMNO Indera Mahkota di samping menambah baik sokongan ahli kepada parti.
“Kami bercadang untuk membuat penaziran Pemuda UMNO di setiap cawangan untuk menambah bilangan ahli dan dari semasa ke masa.
“Kami juga ingin memberi fokus dan penekanan kepada aktiviti yang dapat meningkatkan taraf hidup ataupun sosial mereka dengan melakukan program yang bersesuaian mengikut keadaan,” jelasnya.
Katanya, jika dipilih bersama menggalas tanggungjawab dalam parti, paling penting bagi mereka untuk mencuba mencari peluang bagi meningkatkan taraf hidup ekonomi dari segi apa jua bantuan dari kerajaan untuk disampaikan kepada golongan sasar.
“Tidak mahu ada golongan terpinggir. Cuba dekati supaya dapat duduk sama tinggi, sama rendah. Ibarat macam bila seorang susah, yang lain sama-sama bantu keluar dari masalah.
“Kami berharap anak anak muda lebih berdaya saing dalam keadaan serba mencabar,” katanya. – MalaysiaGazette