MELAKA – Enam individu termasuk dua lelaki yang leka bermain judi bola golek tidak sempat melarikan diri apabila diserbu sepasukan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah kelmarin.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, semua mereka berusia 26 hingga 41 tahun ditahan di sebuah premis menjual aksesori telefon di Taman Merdeka, Batu Berendam pada pukul 10.45 malam hasil maklumat awam.
“Dalam serbuan ini, kita berjaya menahan dua lelaki tempatan sebagai penjaga premis selain dua pelanggannya yang sedang leka bermain judi disyaki judi bola golek.
“Pemeriksaan di tingkat atas premis turut menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing yang mengaku adalah penganjur judi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, kesemua enam individu ditahan berusia 26 hingga 41 tahun direman selama tiga hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Sabit kesalahan, katanya boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette.