Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap kepada media selepas hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 ketika di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedia menuruti segala keputusan yang dibuat Majlis Pimpinan Tertinggi parti berhubung kedudukan beliau sebagai presiden dalam parti itu.

Beliau berkata, perkara itu perlu diputuskan segera selepas beliau menghadapi empat pertuduhan menerima suapan dan dua pendakwaan penggubahan wang haram di Mahkamah Sesyen, hari ini.

“Saya akan bawa kedudukan saya ke dalam Majlis Pimpinan Tertinggi parti.

“Saya beza dengan Wan Saiful Wan Jan, saya adalah Presiden yang dipilih oleh parti.

“Saya serah (kedudukan) kepada Majlis Tertinggi untuk tempoh paling dekat. Apa sahaja keputusan yang mereka dibuat, saya akan akur,” katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Terdahulu Muhyiddin didakwa empat pertuduhan kerana menerima suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pertuduhan penggubahan wang haram berjumlah RM195 juta, dua tahun lalu.

Muhyiddin, 76, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon kesemua enam pertuduhan itu dibicarakan di hadapan Hakim Azura Mohd Alwi, pagi ini.

Kesemua suapan itu yang diterima Muhyiddin itu daripada tiga syarikat dan seorang individu.

Bagi empat pertuduhan itu, Muhyiddin didakwa di bawah seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.

Dua pertuduhan lagi didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada AktivitiHaram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) Akta sama. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.