Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh (tengah) ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Pusat Dagangan NZX Lembah Subang hari ini. Turut sama timbalannya, Adam Adli Abd Halim (dua, kanan). Hari Wanita Antarabangsa bertemakan “Kasih Wanita” yang disambut secara tahunan pada 8 Mac bertepatan dengan aspirasi memperkasakan wanita, sambutan ini seiring dengan hasrat di bawah Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan.

PETALING JAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memperkenalkan Kod Sukan Selamat Rabu ini yang merangkumi aspek keselamatan gangguan seksual, buli dan keganasan.

Menterinya Hannah Yeoh berkata kod yang sebelum ini dalam fasa penelitian, kini sudah sedia untuk dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak kementerian.

“KBS akan buat buat pengumuman khas mengenai kod itu,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Sambutan Hari Wanita peringkat KBS, di sini hari ini.

“Isu sukan selamat ini bukan untuk kaum wanita sahaja, bahkan juga untuk kaum lelaki, dan selain isu gangguan seksual ia (kod itu) juga membabitkan (isu) buli dan keganasan,” tambahnya.

Kod itu yang merangkumi tatacara kelakuan bakal diguna pakai untuk mengendalikan aduan mengenai gangguan seksual dalam industri sukan sebelum digantikan dengan Akta Sukan Selamat pada masa akan datang.- BERNAMA