KUALA LUMPUR – Pakatan tidak suci antara UMNO dan DAP adalah satu pengkhianatan terbesar dalam sejarah politik Melayu, dakwa Ketua Armada Nasional (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Beliau mendakwa, pakatan itu merupakan hasil kerja senyap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) sejak sekian lama.
Katanya, ketika UMNO sedang meneroka kerjasama politik bersama Perikatan Nasional (PN) pada masa sama, mereka juga berpakat dengan PH.
“Perkiraan mereka adalah perkiraan politik dan kerusi pertandingan dalam pilihan raya umum (PRU) semata-mata. Maklumlah, macam mana cikgu, begitulah anak murid. Anak murid wajib ikut telunjuk cikgu.
“Bagi orang Melayu, UMNO telah kehilangan kompas moral dan keabsahan politiknya, sebab itu pakatan ini dinamakan tidak suci kerana ketiadaan misi yang lebih besar dalam kerangka perkongsian kuasa mereka bersama PH-DAP.
“Menerusi pakatan ini juga, UMNO menganggap kononnya mereka mewakili orang Melayu dalam PH, sedangkan sokongan Melayu kepada parti itu semakin merosot dan terbukti dengan jumlah kerusi yang dimenanginya sejak PRU-13 lagi,” dakwanya.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Dasar Ketua Armada Nasional pada Perhimpunan Agung Tahunan sayap parti itu kali ke-4 2022 di Menara PGRM di sini hari ini.
Antara pimpinan tertinggi Bersatu yang turut hadir ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Mas Ermeiyati Samsudin, Datuk Seri Saifudin Abdullah dan Datuk Seri Dr. Radzi Jidin.
Berucap lanjut, Wan Ahmad Fayhsal menjelaskan, UMNO masih menganggap mereka berupaya mengawal DAP dalam kerajaan sedangkan hakikatnya parti itu sendiri tahu penglibatannya dalam Kerajaan Perpaduan hanya kerana belas kasihan PH.
“UMNO juga anggap kononnya mereka tidak akan tinggalkan agenda Melayu ketika berada dalam kerajaan PH tetapi UMNO sendiri sedar, kelemahan dan perpecahan dalaman parti itu tidak mengizinkannya untuk memperjuangkan apa-apapun bentuk hak dan nasib orang Melayu.
“Malah pakatan ini wujud hanya semata-mata untuk mengutamakan cita-cita peribadi sesetengah pemimpin UMNO bagi menutup dosa lampau mereka.
“Mereka secara tidak langsung menidakkan kesatuan parti politik Melayu dalam satu saf yang kuat dan tersusun dan terang-terangan pula memangsakan masa depan serta survival orang Melayu,” ujar beliau.
Ahli Parlimen Machang itu tidak hairan kalau kepercayaan orang Melayu kepada Kerajaan Perpaduan tidak berada dalam tahap yang tinggi seperti diharapkan.
Menurut kaji selidik tinjauan rakyat Malaysia 100 Hari pentadbiran Kerajaan Perpaduan, sebanyak 43 peratus responden Melayu dan bumiputera di Semenanjung merasakan hala tuju negara adalah salah.
Katanya, hanya 26 peratus Melayu dan bumiputera mengatakan sebaliknya dan ia menunjukkan tahap keyakinan mereka yang rendah terhadap kerajaan sekarang.
“Sebenarnya, ini adalah isyarat jelas dan nyata mengenai betapa dahaganya bangsa Melayu kepada kepimpinan politik dan kerajaan, selain daripada PH,” kata beliau. – MalaysiaGazette
Parti Abah hang dulu pun berpakat jugak.. jgn lupa sejarah. Tu je nk komen