KUALA LUMPUR – Rizan Jewellery, jenama yang terkenal di pasaran emas dunia khasnya UAE seperti Dubai, Qatar, Oman dan India kini melebarkan sayap ke negara ini.
Pihaknya optimis dapat mengembangkan perniagaan itu dengan skala lebih besar di negara ini.
Rizan Jewellery memilih untuk menjalankan perniagaan di hab barangan emas yang terbesar di Malaysia iaitu Jalan Masjid India di sini sebagai usaha memperkembangkan usaha niaganya di rantau ASEAN.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, Pengarah Urusan Kumpulan Rizan, Shaboob PP, pihaknya yakin pilihan mereka dalam memiliki kedai emas ke-13 di Kuala Lumpur satu keputusan positif.
Jelas beliau, pasaran emas Malaysia masih besar dengan tumpuan khas di dalam fabrikasi barangan kemas khasnya buat pasaran eksport dan Rizan Jewellery sudah mula menerokai peluang itu dalam skala besar.
“Setelah berjaya sebagai jenama unggul di Dubai, pembukaan cawangan Rizan Jewellery di pasaran Malaysia akan memberi akses kepada rakyat di sini kepada reka bentuk barangan kemas ekslusif bertaraf dunia pada harga berpatutan, di samping peluang untuk melabur di dalam barangan emas.
“Rizan Jewellery dijangka akan bergiat di dalam pasaran emas negara melalui dagangan jongkong emas, koin emas dan barangan kemas di segmen borong dan runcit,” katanya selepas majlis pelancaran yang turut dihadiri pemenang program realiti TV Bigg Boss Tami Season 6, Mohammed Azeem hari ini.
Untuk makluman, Rizan di negara ini dipelopori oleh pasukan pengarah mereka yang terdiri dari Shanoob, H. Hussain, H. Jameel dan H. Kalaimagan Mubarak dengan syarikat induknya berpusat di Dubai dengan penglibatan dalam bidang pembuatan, kesihatan, hartanah dan perkhidmatan korporat di rantau GCC dan India.
Bermula sederhana sebagai pemborong dan berkembang sebagai ikon di dalam pasaran emas, Rizan Jewelery sudah menceburi industri ini selama lebih 13 tahun dengan lebih 20,000 pelanggan seluruh dunia ketika ini.
Kata Shaboob lagi, kejayaan Rizan boleh diukur kerana sentiasa mengutamakan nilai-nilai integriti dan kepercayaan sebagai teras perniagaanya.
“Berbekalkan sistem akses, pengalaman pelanggan dan proses efisien yang menjadikan mereka sebagai pendahulu pasaran emas yang bertauliah di Dubai, Sharjah dan Abu Dhabi, Rizan Jewellery yakin ianya dapat dikekalkan di pasaran Malaysia.
“Jika anda ingin menjual emas anda, kami sedia menawarkan nilai terbaik di pasaran dengan pilihan pembayaran segera dengan portal e-dagang Rizan Jewellery kini boleh diakses oleh pelanggan dari seluruh dunia,” ujarnya. – MalaysiaGazette