Sivakumar (tengah) bersama Shahul pada Majlis Pengumuman Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2023 Wilayah Utara.

BAYAN LEPAS –  Human Resource Development Corporation (HRD Corp) buat julung kali akan mengadakan Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2023 bagi Wilayah Utara.

Persidangan dan pameran selama dua hari bermula 31 Mei hingga 1 Jun di Setia Spice Convention Centre itu dilakukan khusus buat pemain industri utara tanah air dengan kolaborasi Pusat Pembangunan Kemahiran Pula Pinang (PSDC).

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, bertemakan ‘HR 5.0: Evolusi Dalam Pembangunan Sumber Manusia’, NHCCE 2023 – Wilayah Utara itu akan membincangkan lima topik utama yang bertujuan untuk melengkapi pemimpin, pemain industri, pengurusan kanan, pengamal sumber manusia dan pekerja profesional dengan kemahiran serta pengetahuan untuk melaksanakan inisiatif transformasi modal insan dalam organisasi masing-masing.

Kata beliau, persidangan tersebut akan menampilkan lebih 20 penceramah serta pakar tempatan dan antarabangsa yang terkenal serta 50 pempamer dari pelbagai industri.

Sivakumar bercakap dengan pemberita pada sidang media di Setia Spice Convention Centre di Pulau Pinang hari ini.

“Ini merupakan destinasi pertama untuk Siri Jelajah NHCCE 2023 selepas mendapat sambutan memberangsangkan pada NHCCE 2022 yang diadakan di Kuala Lumpur tahun lalu.

“Persidangan itu juga dijangka menarik lebih 1,000 delegasi dari utara tanah air memandangkan wilayah utara merupakan salah satu kawasan ekonomi terpenting negara,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman persidangan tersebut yang berlangsung di Setia Spice Convention Centre di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood.

Tambah Sivakumar, NHCCE 2023 – Wilayah Utara akan menjadi platform berkesan bagi pakar bidang dan pemain industri di wilayah ini membincangkan dengan lebih terperinci berhubung usaha yang mampu membina bakat Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

“Saya menyeru agar semua pemain industri di kawasan sekitar utara tanah air memanfaatkan peluang ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast