JERANTUT – Malaysia merupakan lokasi transit sindiket penyeludupan haram hidupan liar sebelum haiwan itu diseludup ke nagara lain.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Abdul Kadir Abu Hashim, berkata kebiasaannya sindiket penyeludupan didalangi warga tempatan yang menyimpan haiwan itu sebelum dihantar ke negara pembeli.
“Biasanya tenggiling ini dibawa dari Indonesia dan sindiket penyeludupan menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum dihantar ke Thailand dan China.
“Begitu juga dengan haiwan lain seperti gading gajah dihantar ke Vietnam dan Thailand manakala burung jenis murai batu pula mempunyai pasaran di Indonesia.
“Antara kaedah penyelupan yang digunakan ialah jalan udara, jalan darat dan jalan air,” jelasnya.
Abdul Kadir berkata demikian pada sidang media di Taman Negara Tahan, Jerantut selepas mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bersama Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdul Sani dan Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Zazuli Johan.
Sehingga awal Mac tahun ini, sebanyak 19 kertas siasatan sudah dibuka membabitkan kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan peruntukan undang-undang lain yang berkaitan.
Seramai 30 pesalah warga tempatan dan seorang warga asing ditahan dengan nilai rampasan berjumlah RM6.422 juta sepanjang tempoh itu.
Menurutnya sejak OBK dilancarkan pada tahun 2019, pihaknya merekodkan lebih RM224 juta nilai rampasan dan sitaan membabitkan aktiviti penyeludupan haram.
“Sepanjang empat tahun bermula 2019 hingga 2022, OBK dilaksanakan di Semenanjung Malaysia, sebanyak 291 kertas siasatan telah di buka yang melibatkan tangkapan 477 orang pesalah jenayah.
“Seramai 353 warga tempatan dan 124 orang warga asing manakala sebanyak 1,875 jerat hidupan liar telah berjaya dimusnahkan dengan jumlah keseluruhan nilai sitaan adalah sebanyak RM224.08 juta,” katanya.
Sementara itu Acryl Sani memaklumkan polis merampas 1,010 senjata api dan membatalkan lesen pemilik senjata api sejak 2020 sehingga kini.
“1,010 senjata dan lesen pemilik senjata api ditarik balik kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan hidupan liar.
“Tindakan tegas seperti ini akan diteruskan dan melalui OBK ini juga kita percaya aktiviti penyeludupan haram dapat dibanteras,” katanya. – MalaysiaGazette