Mohammad Yusof Apdal

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)  sedang membentuk satu jawatankuasa khas yang  bertanggungjawab membuat semakan dan kajian mendalam ke atas dasar pendidikan tinggi nasional.

Timbalan menterinya, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, penubuhan jawatankuasa khas itu dibuat sebagai usaha kementerian melakukan reformasi pendidikan tinggi negara.

Kata beliau, matlamat dan mandat utama jawatankuasa itu adalah untuk melihat kekurangan, kelemahan, malah kekuatan dasar sedia ada dan seterusnya memberikan saranan serta pandangan mereka.

“Dasar yang dilihat sudah tidak relevan akan dihentikan. Begitu juga, dasar-dasar yang dilihat lemah akan ditambah baik dan diperkemas.

“Pada masa sama, dasar baharu yang dilihat relevan dan perlu berdasarkan cabaran dan perkembangan semasa akan dicadangkan.

“Semua ini bertujuan memastikan pada peringkat dasar dan polisi, kita mempunyai hala tuju dan pendirian yang jelas, kemas serta terbaik,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Bersatu-Indera Mahkota) di Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin sebelum itu bertanya langkah yang akan dilaksanakan KPT untuk merealisasikan reformasi pendidikan di kalangan institusi pengajian tinggi di negara ini.

Menurut Mohammad Yusof, keahlian jawatankuasa itu melibatkan tokoh dalam pendidikan tinggi dan tokoh terkemuka industri yang boleh menyumbang idea serta buah fikiran bernas secara holistik bagi meningkatkan kualiti dan prestasi penyampaian pendidikan tinggi.

Katanya, jawatankuasa itu juga akan diperuntukkan masa tiga bulan untuk mengemukakan dapatan dan saranan penambahbaikan yang bakal menjadi asas pembangunan pelan induk pendidikan tinggi negara.

“Semasa ucapan Perutusan Tahun Baharu 2023, KPT telah mengutarakan 11 azam yang akan menjadi fokus utama kementerian dalam melonjakkan sektor pendidikan tinggi negara.

“Antara fokus yang telah disenaraikan antara lain memastikan hala tuju dan aspirasi nasional diberikan perhatian oleh IPT kita, memperkasa mahasiswa dengan memberikan Gerakan mahasiswa lebih banyak tanggungjawab dan peranan khususnya dalam hal yang melibat aktivisme dan kepimpinan mahasiswa.

“Fokus juga ditumpukan kepada pembinaan kapasiti dan pengukuhan sumber intelektual, membina dan memastikan kualiti dan kecemerlangan akademik, menyusun dan merombak secara progresif dan meluas program latihan dan perkembangan bakat kepimpinan IPT melalui pengukuhan AKEPT,” katanya.

Beliau berkata, KPT turut memberi fokus memastikan IPTS berperanan dengan lebih proaktif dan kukuh dalam bersama-sama membantu sektor pendidikan tinggi negara, membangunkan Malaysia sebagai hab atau pusat bakat yang menjadi pilihan negara-negara dunia untuk melatih bakat mereka serta merancakkan perluasan strategi pengantarabangsaan dan sebagainya.

Semua itu, ujar beliau, antara perkara yang sedang diusahakan KPT untuk memastikan berlaku lonjakan yang selayaknya kepada sektor pendidikan tinggi negara.

Justeru, tegas beliau, KPT sememangnya komited dalam memastikan pelaksanaan program yang berupaya menyokong hasrat reformasi pendidikan tinggi ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast