Noryana Najwa Najib

KUALA LUMPUR – Noryana Najwa Najib berjanji tidak akan mengecewakan ahli Puteri UMNO yang mengundinya menjadi ahli jawatankuasa pergerakan itu dalam pemilihan yang diadakan pada Sabtu lalu.

Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu berkata, banyak yang perlu dilakukan oleh Pergerakan Puteri UMNO bagi mengembalikan semula sokongan orang muda kepada parti.

“Banyak yang perlu kami laksanakan sekiranya Puteri UMNO ingin memainkan peranan untuk mengembalikan sokongan anak muda kepada parti yang kami cintai. Puteri perlukan segala idea dan bakat adik-adik Puteri.

“Tanggungjawab ini perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen and the work starts now!

“Insya-Allah Yana tidak akan mengecewakan anda dan Yana akan sentiasa bersama anda,” kata Noryana Najwa dalam kenyataan di Facebook.

Serentak itu beliau mengajak semua pihak dalam pergerakan itu untuk bekerjasama demi membina masa depan yang lebih baik untuk parti.

Noryana Najwa dalam pada itu bersyukur kerana kempen yang berjalan dengan lancar serta mendapat sokongan dan kepercayaan semua ahli pergerakan itu.

Beliau turut menerima segala nasihat dan kongsian dengan hati yang terbuka terutamanya kepada senior yang menjawab WhatsApp lewat malam dan sentiasa memberi sokongan supaya beliau terus melangkah ke hadapan.

Sokongan itu memberi motivasi dan tekad kepada Noryana Najwa untuk terus bekerja dengan lebih keras dan komited.

Sementara itu Noryana Najwa yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai mengucapkan terima kasih kepada ahli sayap parti yang mengundi beliau.

“Yana bangga menjadi sebahagian daripada komuniti yang menghargai semangat perjuangan.

“Penyertaan anda dalam kempen telah mempersembahkan nilai-nilai kebersamaan dan komitmen untuk mencipta masa depan yang lebih baik untuk negara kita.

“Sekali lagi, Yana dengan ikhlas mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat Puteri UMNO, ahli keluarga rakan-rakan, sukarelawan, dan pasukan kempen yang bekerja tanpa henti untuk memastikan kejayaan kita,” katanya.

Menurut Noryana Najwa, dedikasi serta kerja keras dan pengorbanan semua ahli sangat dihargai.- MalaysiaGazette