Mohamad Fazli Mohamad Salleh menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Menaiktaraf Jalan Utama Gelang Patah - Ulu Choh (J7) di Taman Nusantara di sini, hari ini.

GELANG PATAH – Johor dianggar mengalami kerugian kira-kira RM168 juta akibat kerosakan beberapa jalan dan infrastruktur akibat banjir baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, anggaran awal itu telah dinilai Jabatan Kerja Raya (JKR) setakat minggu lalu, selepas mendapat akses ke beberapa kawasan terjejas banjir.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri telah membuat permohonan bagi mendapatkan peruntukan membaik pulih infrastruktur melibatkan jalan rosak kepada Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya, anggaran kerugian itu tidak termasuk pasca banjir.

“Kita (kerajaan negeri) juga telah menyediakan dan memberi satu kertas kepada Perdana Menteri melalui kerajaan negeri, tetapi anggaran kerugian itu tidak termasuk selepas banjir.

“Jika dilihat semula hanya beberapa tempat sahaja kita boleh akses, jadi buat sementara ini apa yang dapat dianggatkan ialah RM168 juta.

“Jumlah itu sudah pasti akan berlaku pertambahan sebaik sahaja banjir surut,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Menaiktaraf Jalan Utama Gelang Patah – Ulu Choh (J7) di Taman Nusantara di sini, hari ini.

Mohamad Fazli berkata, pihaknya turut menerima laporan kerosakan lain termasuklah kerosakan cerun, jambatan, bekalan-bekalan elektrik dan air seperti paip-paip air yang bengkok dan patah serta tiang elektrik yang hampir tumbang.

Mengenai majlis penyerahan projek menaik taraf itu, beliau berkata, jalan sepanjang 2.15 kilometer itu akan dinaik taraf dengan melebarkan dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala.

Kerja menaiktaraf itu nanti akan turut dilengkapi pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat.

Keseluruhan kos projek itu mencecah RM7.1 juta dan sudah siap sepenuhnya pada 12 April 2022.

“Projek ini memberikan kemudahan buat penduduk setempat terutamanya di Taman Nusantara di sini dan memberi keselesaan terhadap penyuraian trafik pengguna khususnya dari Pekan Nenas, Pontian menuju ke bandar raya Johor Bahru dan Woodland, Singapura,” katanya. –  MalaysiaGazette