Mohamed Sukri Omar

SHAH ALAM – Dewan Pemuda Pas Selangor (DPPS) menyangkal dakwaan PKR kononnya wujud gerakan oleh parti itu untuk menukar tempat mengundi mereka yang beralamat di Terengganu dan Kelantan ke Selangor.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, dakwaan yang dibuat Timbalan Pengarah Komunikasi PKR Selangor, Adzman Kamaruddin itu sebagai usaha parti berkenaan untuk mewujudkan persepsi jahat ke atas Pas.

Tegas beliau, persepsi jahat itu sengaja dilemparkan kerana takut dengan isyarat jelas pengundi Melayu muslim telah menolak Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) baru-baru ini.

Katanya, sudah pasti trend yang sama akan berulang kembali dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor tidak lama lagi, dengan rekod buruk PH di peringkat Persekutuan dan ditambah lagi dengan formula ke laut Menteri Kewangan serta Menteri Ekonomi mereka.

“Kedua-dua menteri ini adalah dari PKR yang tidak mampu menyelesaikan isu ekonomi negara walaupun telah memerintah Kerajaan Persekutuan.

“Sebab itu, Adzman cuba memburukkan pengundi Melayu dari Terengganu dan Kelantan dengan lemparan negatif dalam akaun Twitternya.

“Saya kira, ini bukti ketakutan PH Selangor sekarang yang tentu sedar pengundi Melayu sudah tidak lagi mengundi mereka, melainkan mereka mengharapkan belas ihsan dari pengundi tegar DAP yang bersekongkol dengan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzman yang menggunakan akaun Twitter @adzman86 membuat ciapan, gerakan menukar alamat kad pengenalan pengundi Pas yang tinggal di Selangor, tetapi alamat asal Kelantan dan Terengganu serta telah mengundi DUN pada PRU 15 sedang giat dijalankan.

Pihak @sprgovmy perlu halang perkara ini kerana bagaimana mereka boleh tentukan keputusan PRU15 2x?.

Jelas Mohamed Sukri, kalau benar ada gerakan sedemikian, buktikan dengan fakta dan data, bukan hanya bermain persepsi.

Katanya, memang PKR adalah parti yang suka bermain persepsi bermula dengan presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, timbalan presiden, Rafizi Ramli dan pimpinan seterusnya.

“Ya, gelagat ini sesuai dengan pepatah “bapa borek, anak rintik”. Jika presiden dan timbalan presiden sedemikian, maka tidak pelik pimpinan negeri juga demikian.

“Tidak pelik juga jika PH sangat dibenci oleh pengundi Melayu sejak PRU 14 yang lalu dengan isu-isu terpalit melibatkan sensitiviti Islam dan Melayu, ditambah lagi baru-baru ini mereka merendahkan pemikiran pengundi muda dan pengguna Tik Tok serta kini menfitnah orang Melayu Terengganu dan Kelantan pula.

“Jelas, PH Selangor tiada modal, melainkan terus memusuhi masyarakat Melayu Islam bagi terus “menambat hati” kawan mereka,” katanya.

Beliau mahu Adzman bertanggungjawab atas cicipan yang dibuat di Twitternya kerana dikira menghina pengundi Terengganu dan Kelantan, di samping berbaur hasutan dalam memburuk-burukan pengundi Melayu amnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast