Datuk Rais Yasin

MELAKA – Wakil rakyat yang bertanding sebagai calon pada pemilihan UMNO 2023-2026 sewajarnya diberi mandat berada di dalam saf kepimpinan parti untuk mengukuhkan lagi sokongan rakyat terhadap parti itu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput Datuk Rais Yasin berkata, adalah sesuatu yang pelik, sekiranya mereka yang menang dalam PRU tidak dipilih oleh perwakilan untuk membawa suara parti berusia lebih separuh abad itu.

Pada pemilihan kali ini, beliau menawarkan diri bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sekali gus bertujuan mempertahankan jawatan ahli MKT UMNO yang disandangnya atas kapasiti lantikan sebelum ini.

Malah, Rais turut menyifatkan keputusannya untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu dan merebut kerusi itu daripada penyandangnya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad sebagai demi memberikan harapan baharu kepada Bahagian Tangga Batu.

“Saya ambil satu sudut positif yang mana kalau kita fikirkan kenapa parti buat keputusan pemilihan kali ini hanya diadakan selepas PRU?

“Maksudnya, parti ingin lihat mereka yang dipilih oleh rakyat, yang menang dalam PRU ini dia mesti ada dalam kepimpinan parti, ada dalam saf parti sebab rakyat dah pilih calon itu.

“Tidakkah ia sifat mengundur ke belakang (reverse) jika rakyat telah pilih, tapi kita tidak mahu memilih calon itu,”katanya dalam Wawancara Khas Bersama MalaysiaGazette Sempena Pemilihan UMNO 2023-2026 di sini.

Mengulas lanjut, Rais yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tangga Batu berkata, kejayaannya merampas kerusi DUN Paya Rumput daripada pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu juga adalah hasil kerja keras semua ahli parti di peringkat akar umbi.

Jelasnya, semangat kemenangan itu sewajarnya diterjemahkan pada pemilihan kali ini kerana merekalah yang bersama-sama bertanggungjawab membawa kemenangan di Parlimen Tangga Batu.

“Pada PRN lalu, kita (saya) sebenarnya tidak menang sendiri sebaliknya jentera parti yang bekerja keras, yang membawa kemenangan parti baik daripada MCA, MIC, mahu pun UMNO terdiri daripada sayap Wanita, Puteri dan Pemuda.

“Mereka ini yang bekerja keras gantung bendera, gerak kerja jentera Jalinan Rakyat (JR) oleh kakak-kakak Wanita dan adik-adik Puteri saya yang buat kerja IT.

“Kita jangan cerita tentang contohnya jika calon itu tidak dipilih pada pemilihan sebab tak mahu ada perpecahan.

“Situasi ini sebenarnya tidak berlaku,” katanya lagi.

Tambahnya, beliau melihat UMNO hari ini bertanding dalam semangat kekeluargaan menjadikannya lebih matang dan ini dapat dilihat apabila tiada sebarang pergaduhan atau pertelingkahan berlaku selepas selesai pemilihan sayap parti 11 Mac lalu.

“Alhamdulillah, proses pemilihan selesai dengan baik dan pengumuman rasmi pun sudah dibuat memperlihatkan UMNO yang usianya sudah melebihi 60 tahun sebagai parti yang cukup matang dalam proses demokrasi negara,” katanya.

Mesyuarat perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara Sabtu ini. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast