Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) sedang meneliti untuk memberi keistimewaan kepada golongan hufaz bagi menarik lebih ramai golongan muda menyertai bidang itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kerajaan sentiasa memberikan keutamaan dan menggalakkan perkembangan pendidikan tahfiz dalam negara melalui JAKIM- Darul Quran untuk terus memperkasa bidang tersebut melalui kolaborasi bersama institusi pengajian tinggi.

Menurutnya, kerjasama berkenaan dapat melahirkan lebih ramai hufaz profesional yang menguasai bidang pengajian al-Quran dan sunnah menerusi gabungan elemen tradisional dan kontemporari yang mahir serta berketerampilan.

Katanya, sebelum ini Darul Quran mengadakan program diploma hufaz bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan kini melaksanakan Program Ijazah Sarjana Muda dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) secara francias.

“Selain memberi gelaran kita juga bercadang memberi anugerah tertentu kepada golongan hufaz bagi menarik lebih ramai menyertai bidang ini,”katanya kepada pemberita pada sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoU) Kerjasama Program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah dengan kepujian bersama USIM di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd NaÕim Mokhtar menyaksikan sesi pertukaran memorandum diantara Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff (duduk, dua kiri) dengan Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Ts Dr. Sharifudin Md Shaarani (duduk, dua kanan) pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi Program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah Dengan Kepujian di Kompleks Islam Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 15 MAC 2023.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Sharifudin Md Shaarani.

MoU diadakan selama lima tahun sehingga 2027 ini mensasarkan seramai 300 hingga 400 pelajar.

Program kerjasama USIM-Darul Quran ini telah bermula sejak 2019 dan MoU ini merupakan penyambungan perjanjian antara kedua-dua institusi.

Menurut Mohd Na’im lagi, penawaran program tersebut diberikan kepada pelajar terpilih bagi melahirkan pelajar yang berkualiti dengan menawarkan beberapa keistimewaan.

Katanya, antara keistimewaan ialah penambahan kredit 30 jam masa belajar, yuran belajar dan penginapan percuma, elaun bulanan RM 550 dan menyediakan program pengukuhan al-Quran.

“Darul Quran sentiasa membuka ruang kepada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama ke arah memartabatkan pendidikan tahfiz di negara ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette