GEORGE TOWN – Seorang jurujual syarikat penapis air menangis sebaik dia dijatuhkan hukuman denda maksimum RM2,000 oleh Majistret George Town di sini hari ini atas tuduhan membuat laporan polis palsu berhubung kehilangan kad pengenalannya.
Majistret Melati Diana Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu ke atas Nurzuain Mohammad, 31, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Mahkamah turut memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Tertuduh membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan dia didapati dengan sengaja membuat satu laporan polis palsu dengan niat untuk pihak polis menggunakan kuasa yang sah di sisi undang-undang bagi mendatangkan bencana atau kegusaran kepada mana-mana orang.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu semasa berada di Balai Polis Sungai Nibong jam 11.58 pagi pada 21 Oktober tahun lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Asharaf Ali memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh.
Terdahulu, tertuduh memberitahu mahkamah dia membuat laporan palsu kerana ini merupakan kali kedua dirinya kehilangan kad pengenalan selain mahu mengelak daripada didenda oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) susulan hanya berpendapatan RM1,000 sebulan.
Difahamkan, siasatan polis mendapati tertuduh membuat laporan polis konon diragut kerana takut dikenakan denda oleh JPN atas kecuaiannya. – MalaysiaGazette
Kenapa sampai berbohong..Sedangkan denda kehilangan kad pengenalan kali kedua tidak lah sebesar mana pun..Jadi hadapi lah denda mahkamah yg jauh lebih tinggi ibarat kata pepatah orang tamak selalu rugi, macam anjing dgn bayang bayang.