Mohd Khairuddin Othman

SHAH ALAM – Kadar pengangguran di Selangor turun sebanyak 1.4 peratus kepada 2.9 peratus pada 2022 berbanding 4.3 peratus tahun sebelumnya.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, lebih mengejutkan penurunan kadar pengangguran itu tidak berlaku di bandar, sebaliknya di kawasan luar bandar.

“Mengikut data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa kawasan luar bandar mempunyai kadar pengangguran yang rendah.

“Sebagai contoh data pada 2021, kadar pengangguran Kuala Langat sebanyak 3.3 peratus, Kuala Selangor (4.3%), Sabak Bernam (3.9%) dan Hulu Selangor (3.3%),” katanya pada Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Tambahnya, penurunan kadar pengangguran di Selangor berlaku disebabkan penghijrahan anak muda dari luar bandar ke bandar di negeri ini.

“Secara keseluruhan kadar pengangguran di Selangor pula adalah di bawah 4 peratus.

“Belia yang berhijrah dari luar bandar ke bandar dalam Selangor sebanyak 11 peratus, manakala belia di luar Selangor yang berhijrah ke Selangor sebanyak 14 peratus,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias kepada Menteri Besar berkenaan usaha Kerajaan Negeri untuk menambah peluang pekerjaan kepada golongan belia yang menganggur terutamanya lepasan sekolah yang terdapat di luar bandar.

Dalam pada itu, penurunan kadar pengangguran itu juga kesan daripada Program Selangor Mega Job Fair yang dianjurkan Kerajaan Negeri Selangor saban tahun.

“Kerajaan Negeri berjaya memberikan sebanyak 3,053 peluang pekerjaan melalui dua program Selangor Mega Job Fair pada 2022.

“Malah program sama akan diadakan sebanyak dua lagi pada tahun ini untuk memberi peluang kepada belia-belia di Selangor,” katanya

Tambahnya, penganjuran program secara mega ini merupakan satu usaha proaktif bagi membuka lebih banyak ruang dan peluang dalam membantu golongan belia yang menganggur untuk mendapatkan pekerjaan.

“Antara pengisian utama sepanjang tempoh program berlangsung adalah temuduga terbuka oleh pihak majikan dan industri dan perkongsian ilmu kerjaya.

“Sebanyak 39,278 peluang pekerjaan yang merangkumi pelbagai sektor antaranya automotif, teknologi maklumat, perhotelan, sukan, pemasaran dan jualan, makanan dan minuman (F&B), peruncitan, pentadbiran dan perkhidmatan serta lain-lain industri disediakan dalam program Selangor Mega Job Fair pada 2022,” katanya lagi. – MalaysiaGazette