KUALA LUMPUR – Kadar zakat fitrah di Selangor pada tahun ini ditetapkan pada RM7 seorang.
Menerusi kenyataan Lembaga Zakat Selangor (LZS), penetapan kadar itu berdasarkan kepada harga bagi 2.6 kilogram beras super special tempatan yang lazim digunakan umat Islam di Selangor.
Bagaimanapun, LZS menggalakkan golongan yang berkemampuan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan.
“Kadar RM14 seorang adalah daripada beras jenis super import, beras perang, beras pulut, herba ponni dan beras wangi.
“Bagi kadar RM21 pula adalah untuk umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras jenis basmati, beras Jepun, beras merah dan setaraf dengannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
LZS menambah, galakan menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan telah dilaksanakan mereka sejak tahun 2018 lagi.
Sehubungan itu, LZS menyediakan pelbagai platform pembayaran dalam talian yang lebih pantas dan selamat bagi memudahkan urusan pembayaran zakat di Selangor.
Ia bukan hanya terhad kepada pembayaran zakat fitrah, malah turut meliputi zakat harta pada bulan Ramadan.
Katanya, pembayaran boleh dibuat melalui EZakat Pay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my atau menerusi perbankan internet, portal MyEg, pos online, aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost.
Dalam pada itu, LZS turut melantik seramai 2,642 Penolong Amil Fitrah (PAF) di seluruh Selangor untuk mengutip zakat fitrah sepanjang Ramadan tahun ini.
“Orang ramai diingatkan untuk menunaikan zakat fitrah kepada PAF yang dilantik berdasarkan kad tauliah dan sijil lantikan yang disahkan oleh LZS,” katanya. – MalaysiaGazette