Dr. Azizi di halaman rumah yang dipenuhi air ‘Banjir Termenung’

INOVASIwater dam’ ciptaan pensyarah dan penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Ts. Dr. Nor Azizi Yusoff mampu menyelamatkan kediaman daripada dimasuki air banjir sekali gus memendekkan jangka masa kejadian ’banjir termenung.’

Sebagai salah seorang mangsa banjir, Dr. Azizi memanfaatkan cuti bencana yang diperolehnya dengan mencipta satu inovasi baharu mampu milik bagi mengurangkan risiko kerosakan harta benda yang ada di rumah.

”Berbekalkan minat yang mendalam dalam bidang inovasi, saya giat mencari jalan penyelesaian bagi fenomena ’banjir termenung’ yang mungkin mengambil masa seminggu dua untuk surut sepenuhnya.

“Dengan ketinggian air sekitar satu kaki memasuki rumah, saya mula mencipta satu empangan bersama sistem pam untuk menyedut keluar air yang bertakung di dalam rumah dari semasa ke semasa,” katanya.

‘Empangan Air’ yang telah siap beserta sistem pam.

Tambah Dr. Azizi, untuk menghasilkan ’water dam’ tersebut, beliau telah menggunakan barang-barang seperti pam akuarium, beg plastik sampah, hos getah, tikar getah, air, kertas terpakai, penapis plastik dan pemberat.

”Setelah beberapa kali mencuba dan gagal, saya akhirnya bertemu kaedah yang sesuai, dengan menggunakan barang-barang yang mudah didapati dan hanya memerlukan kos
kurang daripada RM200,” katanya.

Beliau berharap inovasi ‘water dam’ itu dapat dipraktikkan oleh mangsa-mangsa banjir pada ketika ini sebagai usaha untuk memendekkan jangka masa ‘banjir termenung’ sekali gus meminimakan kerosakan harta benda milik mereka.

 

Konsep reka bentuk konvensional empangan tanah

 

Untuk membina inovasi ini secara ’DIY’, lima langkah mudah ini boleh diikuti:

Langkah 1: Tikar getah yang ada di rumah dipotong mengikut kesesuaian ruang terbuka terutamanya pintu. Tikar ini dilapik dalam bentuk L seperti dalam gambar bagi memberi
lekapan yang baik antara permukaan dinding, lantai dan tikar getah.

Langkah 2: Seterusnya ambil bag plastik sampah, letakkan pemberat di dalamnya serta himpitkan di atas permukaan tikar getah bagi menghalang sebaiknya resapan air antara
permukaan tikar getah dan lantai. Kemudian, masukkan air ke dalam beg plastik. Perkara ini diulangi sehingga empangan siap.

Langkah 3: Kertas terpakai diletakkan di antara tikar getah dan empangan Air. Ini bagi membentuk teras empangan yang kebiasaanya menggunakan bahan tanah liat untuk
menyekat sebaiknya pergerakan air bawah tanah.

Langkah 4: Bagi penyediaan pam, pam yang digunakan perlu dialas dengan penapis plastik bagi mengelak pam tersumbat dengan bendasing.

Langkah 5: Tutup bukaan-bukaan lain seperti lubang tandas dan lubang sinki dapur dengan gulungan kertas bersalut plastik bagi menyekat pergerakan air dari lokasi-lokasi ini. Setelah empangan telah siap terbentuk, bekalan elektrik ke pam boleh diaktifkan.

Artikel daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)