KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Dewan Rakyat diminta menyiasat dakwaan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr wee Ka Siong bahawa beliau telah didesak secara tidak wajar untuk membetulkan kenyataan yang dibuat di Parlimen.
Pengerusi Kelab Backbenchers Kerajaan, Datuk Seri Johari Ghani yang membuat gesaan itu berkata, kenyataan Ka Siong telah mencetuskan ‘loceng penggera’ di pelbagai peringkat dan Speaker mesti bertindak segera kerana ia menjejaskan prosiding di Parlimen dan keupayaan ahli Parlimen untuk melaksanakan tugas mereka.
Semalam, Ka Siong memberitahu Dewan Rakyat seorang individu , yang mendakwa sebagai wakil J&E Advance Tech Sdn Bhd telah menghubunginya untuk menuntut penarikan balik kenyataan yang dibuatnya di Parlimen mengenai pengimportan telur dari India. .
Menurut Ka Siong, pemanggil itu mendakwa telah mengadakan perbincangan dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO), selepas itu diputuskan bahawa Ahli Parlimen Ayer Hitam itu akan mengeluarkan kenyataan di Parlimen untuk menyelesaikan pertikaian yang dikatakan timbul daripada kenyataannya sebelum ini.
“Pertama, seorang ahli Parlimen tidak boleh ditekan oleh mana-mana pihak untuk membuat apa-apa jenis kenyataan secara tidak sengaja,” katanya, sambil menambah tekanan sebegitu boleh menimbulkan potensi kesalahan jenayah.
“Kedua, tiada pegawai awam atau ahli perniagaan harus membuat sebarang pengaturan yang direka untuk memberi tekanan kepada mana-mana Ahli Parlimen untuk melakukan atau berkata apa-apa,” kata Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa kepada FMT.
Johari menambah, dakwaan pemanggil bahawa perbincangan telah diadakan dengan PMO mungkin merupakan pencerobohan yang menyalahi undang-undang oleh eksekutif ke dalam Parlimen.
“Ia juga mungkin sama dengan pelanggaran disiplin penjawat awam. Parlimen bertanggungjawab menyiasat perkara ini dan memastikan tindakan yang perlu diambil.”
Susulan dakwaan Ka Siong, PMO dalam satu kenyataan berkata, ia memandang serius dakwaan tersebut kerana ia menjejaskan kredibilitinya dan kerajaan dan tidak akan teragak-agak untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat.
Sementara itu, Ka Siong tidak menolak ada pihak tertentu cuba menakut-nakutkannya.
“Secara peribadi, saya yakin Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak ada kaitan dengan ini kerana kita telah bercakap mengenai perkara ini, dan ia adalah kes seseorang menggunakan nama PMO.
“Tidak salah saya membangkitkan isu itu di Parlimen. Saya hanya menjalankan tugas saya. Kekebalan parlimen mesti dihormati,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini, Ka Siong menerima dua surat tuntutan oleh J&E, yang menyatakan mereka adalah pengimport tunggal telur dari India.
Surat pertama diterima Ka Siong pada 23 Februari lalu, menyatakan ia mengalami kerugian dan reputasi tercemar akibat daripada kenyataan tidak wajar beliau.
Melalui surat kedua pula, peguam syarikat itu memaklumkan perniagaannya terjejas secara tidak langsung kerana kenyataan Ka Siong menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna mengenai kualiti telur.
Ka Siong dalam hantaran di Facebook pada Janauri lalu menulis telur dari India akan mengambil masa antara tiga hingga empat minggu untuk sampai ke Pelabuhan Klang kerana menggunakan laluan lalut. – MalaysiaGazette