KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk meneruskan Laluan Khas Kemasukan Pelajar melalui UPUOnline® ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).
Ia diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Sosial Negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 16 Mac lalu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Laluan Khas Kemasukan Pelajar ini melibatkan empat kumpulan sasaran iaitu golongan berpendapatan 40% terendah
(B40), Orang Kurang Upaya (OKU), Orang Asli dan atlet.
Menurutnya, sejajar dengan hasrat perluasan akses pendidikan tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedia menimbang cadangan Laluan Khas Kemasukan Pelajar sedia ada kepada calon Lepasan Institusi Kebajikan Sekolah Tunas Bakti, Asrama Akhlak dan Taman Seri Puteri Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM).
“Laluan ini merupakan kemasukan melalui kaedah khas dan para
calon tidak perlu bersaing dengan kumpulan arus perdana untuk
melanjutkan pengajian masing-masing.
“Bagaimanapun, para calon masih perlu memenuhi Syarat Am dan Syarat Khas program pengajian yang dipilih dan akan disaring dalam kumpulan mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Khaled berharap inisiatif ini dapat memberi manfaat kepada kumpulan sasaran untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan seterusnya melengkapkan diri bagi membolehkan mereka hidup berdikari dan menyumbang bakti secara berkesan ke arah pembangunan Malaysia MADANI.- MalaysiaGazette