BANGI – Undi tidak percaya terhadap presiden boleh dilakukan oleh mana-mana organisasi.
Demikian kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang diminta mengulas kenyataan Tan Sri Noh Omar semalam.
Noh yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) itu berkata, kedudukan Presiden UMNO masih boleh digugat menerusi undi tidak percaya.
Bagaimanapun, Khaled enggan mengulas lebih lanjut berikutan Tan Sri Noh Omar kini bukan lagi ahli UMNO.
“Pertama, dia (Noh Omar) sudah dipecat. Kedua, dalam mana-mana organisasi memang ada ruang untuk lakukannya,” katanya ketika meninjau pelaksanaan Menu Siswa Rahmah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.
Menurut Noh, undi tidak percaya boleh dibuat menerusi undian antara 25 Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipilih dan 12 yang dilantik bagi jawatan itu dalam parti tersebut.
Bagaimanapun, Noh mengakui perkara tersebut sukar berdasarkan pengalamannya selama 29 tahun menjadi ahli MKT yang terpilih dalam pemilihan UMNO.- MalaysiaGazette