TATKALA Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2 yang mendedahkan pelbagai masalah ketirisan membabitkan ratusan juta ringgit dalam beberapa sektor perkhidmatan dan pengurusan kewangan negara sedang diperdebatkan, kita terus dikejutkan dengan tangkapan dan dakwaan berterusan membabitkan ahli politik serta penjawat awam yang terbabit dengan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam pelbagai projek dan perolehan membabitkan dana awam. Ini menunjukkan masalah rasuah dan salah guna kuasa semakin membarah di negara kita dan apa yang lebih menyedihkan ialah pihak yang diberi amanah dan tanggungjawab dari kalangan ahli politik dan penjawat awam terus mengkhianati rakyat.
Ironinya, ahli politik dan penjawat awam adalah kelompok yang sangat dekat dengan rakyat dan sentiasa menjadi tempat sandaran serta harapan anggota masyarakat. Justeru kita berasa cukup tertipu dan kecewa apabila ada yang menggunakan kedudukan untuk kepentingan diri dan keluarga dengan membolot dana awam yang sepatutnya digunakan untuk meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat selain memulihkan ekonomi negara.
Walaupun bukan semua ahli politik dan penjawat awam terbabit dalam kancah najis rasuah namun tindak tanduk segelintir daripada mereka ini cukup untuk merosakkan keseluruhan ekosistem pentadbiran, tadbir urus dan tata kelola negara. Tidak keterlaluan untuk dikatakan tingkah laku mereka ini turut menjejaskan nama dan imej baik negara di peringkat global.
Justeru kita tidak boleh bertolak ansur lagi dengan masalah pecah amanah dan integriti seperti ini. Cukuplah segala ketirisan yang telah berlaku sekian lama dan sudah tiba masanya untuk menoktahkan amalan tidak amanah seperti ini. Ironinya, sedar atau tidak, pada ketika ini kehidupan rakyat cukup sengsara, kedudukan kewangan negara cukup nazak dan kedudukan ekonomi rakyat dan negara juga sangat kritikal. Jadi kita tidak boleh membiarkan individu yang tidak amanah terus menjarah dana awam.
Dalam hal ini kita melihat pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cukup komited dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Peningkatan kes tangkapan dan dakwaan yang sedang berlaku pada ketika ini membuktikan mereka sedang berperang untuk memerangi kelompok yang tidak amanah, namun kita juga perlu sedar usaha membanteras kepincangan ini tidak boleh disandarkan di bahu SPRM semata-mata.
Hakikatnya bilangan kes yang bertambah serta masalah kekangan sumber manusia yang dihadapi oleh SPRM menyebabkan mereka berhadapan dengan beban tugas yang sangat berat dan mencabar sekali gus menyukarkan agensi ini untuk bergerak dengan lebih agresif. Jadi sebagai warganegara yang bertanggungjawab, setiap seorang daripada kita perlu turut memikul tanggungjawab dan memainkan peranan untuk membantu pihak berkuasa menangani masalah defisit amanah seperti ini.
Secara umumnya, antara punca utama masalah korupsi masih berleluasa di negara kita khususnya dalam kalangan ahli politik dan penjawat awam adalah kerana amalan gaya hidup di luar kemampuan yang menuntut mereka sentiasa mencari duit tambahan untuk menampung keperluan, sifat tamak yang mempengaruhi tingkah laku individu yang tidak pernah rasa cukup mahupun bersyukur dengan apa yang ada, wujudnya ruang dan peluang kepada individu yang membolehkan mereka menyalahguna kedudukan dan melakukan penyelewengan untuk kepentingan peribadi serta nilai tahap integriti yang sangat rendah. Jadi jika kita mahu membanteras masalah rasuah di negara ini, semua anggota masyarakat perlu bekerjasama untuk menangani faktor-faktor tersebut dari peringkat akar umbi lagi.
Misalnya, perlu ada inisiatif berterusan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan ahli politik dan penjawat awam agar sentiasa bersyukur dengan apa yang ada dan jangan berbelanja melebihi kemampuan, yakni perlu mengukur baju di badan sendiri. Proses pendidikan pencegahan dan kesedaran perlu terus dipergiatkan secara agresif di semua peringkat lapisan masyarakat selain peranan ahli keluarga sendiri yang perlu sentiasa mengingatkan keburukan sifat pecah amanah.
Di samping itu perlu ada kawalan dan penetapan bidang kuasa yang terhad berdasarkan jawatan yang dipegang oleh seseorang agar tidak berlaku pemusatan kuasa yang membawa kepada penyalahgunaan kuasa. Ringkasnya, baik ahli politik mahupun penjawat awam tidak boleh memegang kuasa yang terlalu besar secara bersendirian, sebaliknya perlu ada agihan kuasa agar setiap keputusan yang dibuat itu dilakukan secara bersama dengan pegawai lain mahupun perlu melalui beberapa peringkat. Pendekatan pengasingan kuasa seperti ini akan menutup segala ruang dan peluang yang ada kepada seseorang individu untuk menyalahguna kedudukan mereka dengan sewenang-wenangnya.
Anggota masyarakat juga perlu lebih peka dengan apa yang sedang berlaku di sekeliling kita. Jadilah telinga dan mata SPRM dengan menjadi pemantau dan melaporkan dengan segera kesalahan dan ketirisan yang berlaku di depan mata kita. Tindakan kita selama ini yang suka tidak ambil peduli atau tutup mata dan telinga akhirnya merugikan rakyat dan negara.
Akhirnya kita berharap agar semua pihak yang diberi amanah jangan sesekali mengkhianati kepercayaan rakyat melalui tindakan mengambil kesempatan untuk kepentingan diri dan keluarga. Ingat, kuasa dan pangkat yang ada itu adalah amanah yang perlu dijunjung dengan penuh tanggungjawab. Jadikan amanah dan integriti sebagai perisai untuk mengawal sifat tamak dan insaflah betapa setiap salah laku dan penyelewengan kita itu merampas hak orang lain dan menganiaya golongan yang mengharapkan bantuan untuk kelangsungan.
Noor Mohamad Shakil Hameed
Timbalan Ketua, Panel Pemikir
Pemerhati Rasuah Malaysia