Sultan Ibrahim Sultan Iskandar,

JOHOR BAHRU – Sultan Johor Sultan Ibrahim kesal dengan perbuatan orang asli yang menceroboh kawasan hutan simpan kerajaan untuk dijadikan ladang getah dan kelapa sawit secara besar-besaran.

Baginda percaya perbuatan itu membabitkan orang luar, yang mahu mengambil kesempatan dengan menggunakan hak orang asli sebagai alasan.

“Malah, ada juga yang cuba menuntut ‘kawasan rayau’ yang tidak masuk akal, kalau hendak diikutkan, awak semua di dalam dewan ini pun banyak tempat merayau,” titah baginda ketika Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada hari ini.

Titah baginda, sejak dahulu lagi, kerajaan sentiasa menjaga kebajikan orang asli di negeri ini dengan melaksanakan pelbagai projek pembangunan selain memberikan bantuan bagi menaiktaraf kehidupan mereka.

Malah, titah baginda, kerajaan juga menyediakan kawasan penempatan Orang Asli yang lebih tersusun dengan kemudahan bekalan air, elektrik dan kemudahan awam yang memberi keselesaan kepada mereka.

Justeru, baginda mengingatkan walaupun kedudukan Orang Asli dilindungi perlembagaan, malah mereka juga wajib mematuhi undang-undang dengan menegaskan bahawa pencerobohan hutan adalah salah dan masyarakat berkenaan juga tidak terkecuali.

“Kerajaan mesti tegas dalam tindakan yang diambil dan membuat pemantauan secara berterusan untuk menjaga khazanah hutan dan melindungi hidupan liar,” titah baginda.

Sultan Johor menegaskan kepada kerajaan negeri supaya meletakkan semua kawasan penempatan dan rizab Orang Asli di bawah “Sultanate Land” supaya tidak ada mana-mana pihak yang boleh berbuat sesuka hati.

“Jangan sampai ‘pisang berbuah dua kali’ mengulangi kesilapan dahulu seperti kes Orang Asli di Bekok,” titah baginda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast