Produk yang dihasilkan daripada ubi kayu dan daun pisang.

MELAKA – Sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya membangunkan produk inovasi bekas plastik mesra alam
yang dihasilkan daripada ubi kayu dan daun pisang.

Ketua Penyelidik yang juga Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP), Dr Ridhwan Jumaidin berkata, bekas plastik dalam bentuk dulang ini selamat untuk digunakan dan juga mesra alam apabila ingin dilupuskan.

Jelasnya, bekas plastik berbentuk dulang ini turut boleh digunakan bagi tujuan pembungkusan produk dan yang utamanya ianya dapat mengurangkan implikasi pencemaran alam sekitar.

Menjelaskan tentang keistimewaan produk ini beliau berkata, bahan produk inovasi ini dibangunkan daripada sumber semulajadi yang lazimnya digunakan dalam industri makanan iaitu daun pisang dan ubi kayu.

“Justeru, plastik ini adalah mesra alam sekitar serta bebas daripada toksik dan bahan kimia yang berbahaya jika dibandingkan dengan plastik biasa yang digunakan pada masa ini yang mana bahan asasnya adalah petroleum yang menghasilkan toksik apabila dilupuskan melalui pembakaran.

“Plastik sintetik daripada petroleum ini tidak boleh lupus jika dibuang ke tanah, sungai atau laut berbeza dengan plastik yang dihasilkan daripada sumber daun pisang ini boleh lupus hanya dalam tempoh 8 minggu sahaja sekiranya ditanam di dalam tanah.

“Selain mesra alam ianya selamat digunakan kerana bersifat termoplastik iaitu boleh dikitar semula dan menghasilkan bentuk produk yang berbeza sekaligus dapat menjimatkan sumber yang digunakan dan memberi tambah nilai kepada produk inovasi ini,” ujarnya.

KKumpulan penyelidik dari FTKMP dan FKM, UTeM telah berjaya membangunkan produk inovasi bekas plastik mesra alam yang dihasilkan daripada ubi kayu dan daun pisang.

Produk inovasi ini dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik FTKMP iaitu Ilya Rosyafiqah Jaffry Ros, Nuraliah Ahmad Diah, Dr Mastura Mohamad Taha, Dr Syahibudil Ikhwan Abdul Kudus, Febrian Idral, Dr Nuzaimah Mustafa, Dr Yusliza Yusuf, Dr Syahrul Azwan Sundi@Suandi dan Dr Nazri Huzaimi Zakaria.

Bersama dengan empat orang lagi penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) iaitu Dr Mohd Adrinata Shaharuzaman, Dr Noryani Muhammad, Dr Nadlene Razali dan Dr Muhd Ridzuan Mansor.

Mengulas mengenai idea awal membangunkan produk inovasi ini, Dr Ridhwan berkata, menyedari realiti keadaan alam sekitar kini yang semakin tercemar akibat pembuangan sisa plastik yang tidak lupus ke dalam sungai, laut dan tanah.

“Hal ini membahayakan keseimbangan alam semula jadi, flora dan fauna seperti kes penemuan plastik di dalam perut penyu dan juga ikan paus yang menjadi punca kematian hidupan eksotik.

“Justeru, bahan baharu yang terhasil daripada sumber yang boleh diperbaharui adalah amat diperlukan bagi menggantikan plastik yang tidak mesra alam ini. Selain itu, adanya sumber-sumber semulajadi seperti daun pisang di Malaysia turut menjadi pencetus idea untuk menggunakan sumber-sumber ini sebagai bahan asas untuk penghasilan plastik boleh lupus ini.

“Daun pisang terbuang sebagai bahan utama yang kemudiannya digabungkan dengan ubi kayu bagi menghasilkan plastik yang selamat untuk digunakan dan juga mesra alam apabila ingin dilupuskan,” katanya lagi.

Ujarnya, projek pembangunan produk inovasi ini telah mengambil masa lebih kurang setahun dengan menggunakan dana Geran Penyelidikan Jangka Pendek.

Mengulas mengenai cabaran dalam pembangunan produk ini beliau berkata, cabaran utama adalah untuk mendapatkan kestabilan dan kekuatan bahan dan daun pisanglah yang menjadi teras dan struktur peneguhnya.

“Plastik mesra alam ini disasarkan menjadi bahan utama dalam penghasilan produk sekali guna (single-use product) yang dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar. Kini, plastik mesra alam ini telah berjaya menghasilkan produk pembungkusan berbentuk dulang yang boleh digunakan untuk tujuan pembungkusan produk,” ulasnya lagi. – MalaysiaGazette