Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari (tengah) bercakap menunjukkan laporan polis terhadap Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri berhubung fitnah serta dakwaan ke atas presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 17 MAC 2023.

SHAH ALAM – Seramai 22 Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Selangor hari ini membuat laporan polis secara serentak terhadap Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, laporan polis itu berkenaan fitnah dan dakwaan rasuah serta penggubahan wang haram ke atas presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, pihak polis menyiasat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menuduh Muhyiddin menyeleweng wang kerajaan berjumlah RM600 bilion dan kini angka itu berubah kepada RM300 juta ketika ini.

“Semasa Tan Sri Muhyididn menjadi Perdana Menteri, beliau difitnah menyeleweng wang kerajaan RM600 bilion, kemudian diturunkan kepada RM530 bilion, kemudian turun lagi kepada RM92.5 bilion, kemudian diturunkan kepada RM4.5 bilion dan akhirnya hanya RM300 juta.

“Kita mesti berhati-hati sebelum membuat apa-apa kenyataan sebagai seorang Perdana Menteri.

“Apabila membuat kenyataan mengenai sesuatu perkara besar melibatkan rasuah dan sebagainya, mestilah mendapatkan atau menyediakan fakta-fakta yang terperinci sebelum membuat apa-apa kenyataan.

“Apabila seorang Perdana Menteri membuat kenyataan, ia akan dihadam akan dipertimbang oleh rakyat tentang kesahihan kenyataan itu,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, hari ini.

Jumaat lalu, bekas Perdana Menteri itu berdepan dengan enam pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur termasuk dakwaan menerima rasuah berjumlah RM232.5 juta dan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta, dua tahun lalu.

Isnin lalu pula, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) pula dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan kerana menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5 juta, bagi tempoh sama.

Dalam pada itu, Bersatu juga mendesak pihak polis menyiasat kepimpinan negara itu kerana didakwa memberi tekanan kepada agensi kerajaan khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana tujuh pertuduhan itu yang dilihat hanya pendakwaan politik.

“Tak pernah berlaku dalam negara kita, sejarah politik beratus tahun di negara kita seorang presiden parti dituduh bawa AMLA.

“Salahkah dapat sumbangan daripada rakyat atau syarikat-syarikat yang ingin membantu parti kami, dan menggunakan wang tersebut untuk kegunaan politik dan dimasukkan ke dalam akaun parti.

“Itu bukan akaun peribadi untuk kegunaan peribadi, tapi untuk kegunaan politik membeli barangan, buat persediaan pilihan raya, bayar gaji pekerja dan sebagainya,” katanya.

Beliau turut menegaskan, pembekuan akaun Bersatu hanya untuk menyusahkan urusan rasmi dan pentadbiran parti.

“Jadi kita harap SPRM juga menyiasat semua akaun dan presiden parti lain, sama seperti dilakukan ke atas Tan Sri Muhyiddin.

“Kita kena berlaku adil, kerana apa yang berlaku kepada Tan Sri Muhyiddin adalah satu perkara yang tidak adil,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Haaa…nanti rakyat kata ko bodoh, kau marah! Pertama masa Muhyidin bukan main galak lagi sebar fitnah, PM saman ko kata kejam…tu kira ok lah tu saman sivil jaa..tak de plak PM report polis…Yg kedua menampakkan kebebalan ko ialah masa Muhyidin terima rasuah tu dia ada lah PM…dan kerajaan yg ada kuasa utk bagi projek…apa hal plak nak siasat PH dan BN? Mrk masa tu bukan kerajaan..pembangkang mana ada kuasa nak bagi projel kerajaan bahalol!

Comments are closed.