Gambar hiasan.

Tuan Pengarang,

Semasa pembentangan Belanjawan 2023 bulan lepas, kerajaan telah mencadangkan supaya duti eksais dikenakan ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga menyokong dasar generasi penamat atau GEG untuk rakyat Malaysia yang lahir pada selepas sesuatu tahun, seperti yang dipelopori Khairy Jamaluddin sewaktu menjadi Menteri Kesihatan.

Walaupun penggunaan vape bernikotin masih tidak sah di sisi undang-undang, hakikatnya ia dijual secara berleluasa dan dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion. Oleh itu, mengawal selia dan mengenakan cukai ke atas produk ini adalah satu langkah yang sangat bijak.

Cadangan ini adalah selaras dengan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan telah diamalkan oleh banyak negara lain seperti Singapura, Thailand, dan Australia. Negara-negara ini telah melihat hasil positif dalam mengurangkan penggunaan vape dan kesan buruk yang terkait dengannya.

Selain itu, cadangan ini juga dapat membantu Malaysia meningkatkan hasil kerajaan. Semasa Covid-19 melanda, kerajaan telah membelanjakan wang ratusan bilion ringgit untuk membantu rakyat, khasnya golongan B40 dan perniagaan kecil. Akibatnya, rizab negara telah turun dengan mendadak.

Ini ditambah lagi dengan hutang negara yang kini telah mencecah RM1.3 trilion hasil ketirisan perolehan kerajaan terdahulu.. Pengenaan duti eksais ke atas produk vape membolehkan kerajaan meningkatkan sumber hasil, yang boleh digunakan untuk program sosio-ekonomi negara, seperti membina hospital, membaiki sekolah daif atau memberi bantuan tunai kepada B40.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2023 telah mengumumkan bahawa separuh daripada hasil duti eksais ini akan diperuntukkan semula kepada Kementerian Kesihatan sebagai usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan. Ini adalah satu langkah penting untuk meningkatkan taraf kesihatan rakyat dan menjamin akses yang lebih baik kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti. Tetapi apakah ketelusan di Kementerian Kesiahatan Malaysia terjamin? Atau ia telah menjadi lubuk baharu kontrak?

Selagi terdapat takrifan yang jelas tentang jenis produk – sama ada rokok konvensional, vape, tembakau yang dipanaskan, gula-gula getah nikotin, dan lain-lain – saya yakin pelaksanaanya tidak akan menimbulkan banyak masalah. Akta yang ada perlu betul jelas dan terperinci. Jika tidak Kerajaan rugi di masa hadapan.

Satu aspek cadangan cukai ini yang sering diperkatakan adalah tentang nasib peniaga vape. Seperti yang sedia maklum, kebanyakan kedai vape di negara ini dimiliki dan diusahakan oleh komuniti Melayu. Oleh itu, langkah ini mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Melayu yang sudah sememangnya terhimpit pelbagai masalah ekonomi.

Tetapi sebenarnya pemilik-pemilik kedai vape tidak perlu risau. Kawalselia kerajaan hanya akan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap industri ini dan memastikan keselamatan pengguna vape terpelihara. Malahan pengenaan duti eksais mampu meningkatkan jualan produk-produk seperti vape dan tembakau yang dipanaskan.

Mengawal dan mengenakan cukai pada produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape adalah satu langkah yang sangat penting dalam memastikan kesihatan rakyat terjamin dan membantu Malaysia mengatasi masalah kewangan yang semakin mendesak.

Persoalannya sekarang adalah pelaksanaan yang berkesan untuk memastikan cadangan pengenaan cukai eksais ini mencapai matlamat yang direncanakan. Semua harus bermula dengan akta yang betul dan meliputi semua jenis produk tembakau dengan jelas.

Abdul Mutalib Manan
Kajang