Individu yang dikenali sebagai ‘Datuk Roy' diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 14 MAC 2O23.

PUTRAJAYA- Seorang ahli perniagaan yang dikenali sebagai “Datuk Roy” direman semula selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Perintah reman terhadap lelaki berkenaan hingga 20 Mac ini dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Datuk Roy atau nama sebenarnya Mohd Hussein Mohd Nasir, 54, sebelum ini direman selama tiga hari bermula 14 Mac selepas ditahan kira-kira 3 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur pada 13 Mac.

Peguamnya Fahmi Abd Moin dilapor berkata ‘Datuk Roy’ dibebaskan dengan jaminan semalam namun mengesahkan anak guamnya itu akan direman semula oleh SPRM hari ini.

Pengarah SPRM Kuala Lumpur Razaliah Ab Rahman ketika dihubungi mengesahkan reman terhadap lelaki berkenaan dilanjutkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – BERNAMA