PUTRAJAYA – Jualan Ramadan MADANI di 103 outlet pasar tani di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dilancarkan hari ini, yang membolehkan pengunjung mendapatkan barangan keperluan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan pada harga lebih murah berbanding harga pasaran.
Pemangku Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri berkata, para pengunjung pasar tani boleh mendapatkan barang keperluan berkenaan bermula hari ini hingga sehari sebelum Ramadan, yang melibatkan pengurangan harga antara lima hingga 10 peratus.
“Nilai jualan keseluruhan program Ramadan MADANI dianggarkan RM13.5 juta,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program berkenaan di Pasar Tani Putrajaya di Presint 2, di sini hari ini.
“Jualan Ramadan MADANI tidak melibatkan sebarang peruntukan tambahan daripada kerajaan bagi peniaga, ia lebih kepada semangat sukarela dan ihsan yang ditunjukkan kepada golongan memerlukan,” katanya.
Antara tarikan pada jualan berkenaan adalah Kombo MADANI yang akan dijual ketika ‘happy hour’, yang berupa set barangan ditetapkan oleh peniaga, antaranya gabungan ubi kentang dan bawang merah, tiga ekor ikan kembung, dan buah-buahan yang boleh didapati pada harga bermula RM5.
Mengenai bekalan makanan menjelang Ramadan, Abdul Rashid berkata pemantauan FAMA mendapati tiada gangguan bekalan terlibat, kecuali beberapa kawasan di Johor yang terjejas akibat banjir.
“Kita pun bertanya kepada peniaga, mereka maklumkan tiada isu gangguan bekalan dan dijangka dengan cuaca panas ketika ini, pengeluaran akan bertambah baik, sebab kalau cuaca hujan akan menganggu rantaian bekalan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata FAMA turut mengadakan kerjasama dengan peniaga dan pengimport Pasar Borong Selayang bagi mengimbangi bekalan makanan dalam negara jika perlu, antaranya cili akar hijau dari Thailand, bergantung kepada permintaan dari Malaysia.
“Jika harga sayuran dalam Malaysia sudah stabil dan bekalan banyak, mereka akan ‘slow down’ import, saya lihat peniaga lebih mengutamakan produk tempatan kecuali memang ada masalah bekalan,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati beberapa gerai menawarkan jualan Kombo MADANI terutamanya bagi sayur-sayuran iaitu kombinasi tiga jenis sayur antaranya seikat kangkung, kubis dan tempe. – BERNAMA